X

Kindly register in order to view this article
!

Sembilan ahli gabungan MASCA usul petisyen

MASCA
A
A

SEMBILAN daripada 13 ahli gabungan Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) mengemukakan petisyen undi tidak percaya terhadap Presiden, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin di Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), hari ini.

Difahamkan ahli gabungan mengambil tindakan berkenaan atas beberapa faktor termasuk transaksi akaun meragukan dan percanggahan perlembagaan di samping mempersoalkan mengenai dua jawatan utama, setiausaha kehormat yang tidak diisi, selain pemilihan tidak telus bagi mengisi jawatan bendahari.

Menurut Presiden Kanu Kuala Lumpur, Raja Shahrul Azremel Raja Shahar, beliau mengharapkan isu ini dapat diselesaikan segera supaya persatuan itu dapat memberi tumpuan penuh menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2020.

Katanya yang juga Naib Presiden MASCA, kemelut itu secara tidak langsung menyebabkan banyak aktiviti melibatkan para atlet terjejas.

"Antara sebab utama kami mengemukakan petisyen adalah kerana berlakunya penyalahgunaan akaun. Jika dia kata, duit dalam akaun itu duit dia, mengapa dia gunakan akaun persatuan? Akaun persatuan sebenarnya adalah untuk kegunaan persatuan menjalankan aktiviti dan bukannya kegunaan peribadi.

"Jadi kami mohon kemelut ini diselesaikan segera supaya semua persatuan dapat memberi fokus kepada persediaan atlet di SUKMA," katanya yang menyerahkan dua petisyen masing-masing daripada exco persatuan dan ahli gabungan kepada PPS.

Sementara itu, satu tuntutan bagi mengadakan Mesyuarat Agung Khas (EGM) dalam tempoh 30 hari selepas petisyen dihantar turut diusulkan.

Menurut Presiden Persatuan Kanu Terengganu, Dzulkfili Abas, ahli gabungan mempunyai kuasa menganjurkan EGM berdasarkan perlembagaan persatuan pada 2002 sekiranya Megat tidak mahu mengadakan EGM selepas dua pertiga ahli gabungan menandatangani petisyen itu.