Op Selamat 16: 16,942 nahas dalam tempoh 11 hari

Azisman
Azisman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 16,942 kes kemalangan jalan raya membabitkan 25,171 kenderaan direkodkan dalam tempoh 11 hari Op Selamat 16/2020 sempena Tahun Baharu Cina bermula 18 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, sebanyak 115 kes kemalangan maut direkodkan dalam tempoh Op Selamat 16 itu.

“Daripada jumlah berkenaan, Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 4,702 kes, Johor (2,676 kes) dan Kuala Lumpur (1,834 kes).

“Bagi kes kemalangan maut, Selangor turut mencatat jumlah tertinggi dengan 29 kematian, Johor (22 kematian) dan Sarawak (16 kematian),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 209,567 saman dikeluarkan sepanjang Ops Sikap 16 dan daripada jumlah itu, 182,538 saman atau 62.8 peratus membabitkan enam kesalahan utama.

Enam kesalahan utama itu adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan ‘Q’ dan memotong di garisan berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari sempena perayaan Tahun Baharu Cina akan diteruskan sehingga 1 Februari ini.

Artikel Berkaitan: