[VIDEO] 'Isyarat' cinta Faiz dan Fara buat ramai kagum

Pasangan pengantin bisu dan pekak mencuri perhatian netizen.
Pasangan pengantin bisu dan pekak mencuri perhatian netizen.
A
A
A

SHAH ALAM - Pasangan pengantin bisu dan pekak ini tidak menjadikan kekurangan mereka sebagai penghalang memenuhi fitrah dan hasrat berumah tangga seperti manusia normal lain.

Itu perkongsian seorang pengguna Twitter bernama Erin Kahar apabila memuat naik satu rakaman video menunjukkan pengantin lelaki bernama Muhammad Faiz menggunakan bahasa isyarat ketika melafazkan akad nikah yang kemudian diterjemahkan oleh guru sekolahnya.

Atas bantuan guru itu, Muhammad Faiz dan pasangannya bernama Fara sah bergelar suami isteri.

Percintaan bermula di bangku sekolah itu membuatkan netizen berasa kagum dan sehingga kini video tular itu meraih lebih 500,000 tontonan.

Perkongsian video tersebut turut mengundang rasa sebak netizen kerana melihat kelancaran pengantin lelaki menggunakan bahasa isyarat terutama mengeja nama pengantin perempuan.

Pada hantaran sama, kenalan mempelai juga berkongsi foto ketika menghadiri majlis perkahwinan mereka di sini.

Rata-rata mereka mengucapkan tahniah dan mendoakan perkahwinan mereka sehingga ke jannah.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Muhammad Faiz bersama rakannya juga orang kurang upaya tular di laman sosial setelah memohon restu daripada gurunya ketika mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017.

Video berdurasi 7 minit itu menunjukkan seorang guru yang dipanggil Cikgu Zimah memberi nasihat dan kata-kata akhir kepada pelajar-pelajar istimewanya sebelum mereka menduduki peperiksaan.

Apa yang membuatkan orang ramai tersentuh dengan luahan Muhammad Faiz, di akhirat nanti dia berhasrat ingin menarik tangan gurunya itu ke syurga bersama-samanya.