X

Kindly register in order to view this article
!

'Curi, lerai sebelum jual'

A
A

BUKIT MERTAJAM - Sindiket mencuri kereta yang aktif di sekitar daerah Seberang Perai Tengah di sini berjaya ditumpaskan selepas polis menahan lima individu dalam dua serbuan di Sungai Petani Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan dibuat susulan laporan seorang lelaki pada 6 Januari lalu selepas kereta jenis Produa Kancil miliknya yang diletakkan di kawasan parkir berhampiran tempat kerjanya hilang.

Menurutnya, hasil siasatan dan risikan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) pihaknya menyerbu kedai menjual alat ganti kenderaan dan kedai menjual barangan lusuh.

"Dalam serbuan itu, lima lelaki ditahan termasuk seorang warga India dan Seri Langka yang bekerja di kedai barangan lusuh.

"Mereka masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam sindiket ini termasuk mencuri kenderaan, meleraikan komponen kenderaan dan menjual barangan curi itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Nik Ros Azhan berkata, dalam serbuan itu pihaknya menemui pelbagai komponen kereta termasuk beberapa buah enjin, bonet, lampu serta pelbagai peralatan lain yang dipercayai barang curi.

Katanya, hasil soal siasat mendapati suspek mengakui terlibat dengan kes curi kereta Perodua Kancil yang dilaporkan sebelum ini dan beberapa kes curi kenderaan lain.

"Semua suspek yang ditahan berusia di antara 37 hingga 48 tahun dan semakan dibuat mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan mencuri dan memiliki senjata berbahaya.

"Mereka kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!