10,000 ahli PKR Pulau Pinang keluar parti jika Zuraida dipecat

Lebih 250 ahli PKR Pulau Pinang berhimpun di hadapan Pejabat PKR Pulau Pinang bagi menyatakan sokongan kepada Zuraida hari ini.
Lebih 250 ahli PKR Pulau Pinang berhimpun di hadapan Pejabat PKR Pulau Pinang bagi menyatakan sokongan kepada Zuraida hari ini.
A
A
A

BAYAN BARU - Lebih 10,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada 13 cabang di Pulau Pinang bertekad akan meninggalkan parti itu sekiranya Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dipecat.

Pengerusi Persatuan Penggerak Muafakat Nasional Pulau Pinang, Shahrudin Mohd Shariff berkata, pihaknya bersedia untuk berbuat demikian namun akan mempertahankan terlebih dahulu pemimpin mereka daripada diambil tindakan.

Menurutnya, mereka kecewa dengan kepimpinan parti apabila dilihat seperti pilih kasih terhadap Zuraida.

"Kami amat kecewa dengan kepimpinan parti apabila membuat pendakwaan terpilih dan pilih kasih terhadap Zuraida sedangkan ramai lagi pemimpin parti lain yang secara terang-terangan melanggar aturan parti tetapi tiada tindakan dikenakan.

"Sebagai contoh, sidang media pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) yang mendesak pemecatan Zuraida dan forum mendesak penyerahan kuasa Perdana Menteri selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

"Semua ini tidak pula diambil tindakan sedangkan ia jelas melanggar arahan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia juga satu tindakan yang jelas merosakkan hubungan antara parti dalam PH. Oleh itu, kami bertekad, sekiranya Zuraida dipecat, kami tidak teragak-agak untuk meninggalkan parti," katanya pada media di hadapan Pejabat PKR Pulau Pinang di sini hari ini.

Terdahulu, Shahrudin bersama kira-kira 250 ahli PKR Pulau Pinang dan 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di hadapan Pejabat PKR Pulau Pinang bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Zuraida.

Mereka melaungkan sokongan terhadap Zuraida selain memegang sepanduk meminta tiada tindakan diambil ke atas pemimpin kanan parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sharudin berkata, pihaknya menggesa agar tiada tindakan disiplin dikenakan ke atas Zuraida yang dilihat hanya menyatakan kebenaran dan kejujuran dalam ucapannya sebelum ini.

"Zuraida hanya menyatakan kebenaran dan beliau didesak agar dipecat sedangkan apa yang diperkatakannya adalah perkara yang betul. Kami merasakan, tindakan surat tunjuk sebab yang diberikan kepada Zuraida amat dangkal.

"Tetapi apa yang lebih mengecewakan, mereka yang jelas melanggar peraturan dan perlembagaan parti tidak pula diambil tindakan. Oleh itu, kami menggesa agar parti mengambil tindakan keras kepada mereka yang melanggar peraturan parti," katanya.

18 Januari lalu, Zuraida diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Sehubungan itu, himpunan di beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Perak, Johor dan Negeri Sembilan dirancang didakwa sebagai solidariti kepada Zuraida yang menghantar jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahli-PKR-desak-Zuraida-dipecat