Proton City 5G pertama dibangunkan di Perak

Hasnul Zulkarnain menyantuni pelajar Pendidikan Khas di SMK Jelapang Jaya sempena lawatannya hari ini.
Hasnul Zulkarnain menyantuni pelajar Pendidikan Khas di SMK Jelapang Jaya sempena lawatannya hari ini.
A
A
A

IPOH - Pelaksanaan 5G pertama di Perak akan dibangunkan di Proton City, Tanjung Malim seawal suku pertama tahun ini, kata Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Menurutnya, perkara itu telah pun dimaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Perak semalam.

"Saya telah diberikan taklimat oleh SKMM dan kalau ikutkan pada suku pertama tahun ini akan bermulalah projek 5G di daerah Muallim khususnya di kawasan Proton City," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni Pelajar Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelapang Jaya di sini hari ini.

Menurutnya, Proton City dipilih sebagai lokasi pertama berdasarkan keperluan 5G untuk membantu perkembangan bandar automotif itu.

"Untuk pelaksanaan 5G ini ada kluster-kluster yang terpilih seperti di Langkawi atas faktor pelancongan dan di Terengganu kerana kaitan industri minyak dan gasnya.

"Di Perak ini keperluannya adalah di kawasan industri automotif iaitu di daerah Muallim," katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, kerajaan negeri sedia mengemukakan permohonan kepada SKMM agar 5G turut dibangunkan di Pangkor selaras dengan pengisytiharan sebagai pulau bebas cukai.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada komitmen syarikat telco yang membuat pelaburan dalam membangunkan infrastruktur 5G di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikut perancangan akan ada peringkat-peringkat kawasan tetapi saya tidak boleh beritahu secara spesifik kerana ia bergantung kepada pelaburan syarikat-syarikat telco sendiri," katanya.