KPLB dan ELokal bakal jayakan DesaMall@KPLB

Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat ELokal Sdn Bhd bagi melaksanakan Program DesaMall@KPLB.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia bagi memeterai kolaboratif yang telah dan akan dilaksanakan dalam memacu penerimaan e-Dagang bagi membantu usahawan luar bandar memasarkan produk secara dalam talian di pelbagai platform.

“Berdasarkan pencapaian Program DesaMall@KPLB sehingga kini dan peranan ELokal dalam program itu, kementerian bercadang untuk ELokal menjadi penyedia latihan dan pentadbir bagi ProgramDesaMall@KPLB di seluruh Malaysia.

“Kementerian juga akan menyediakan usahawan yang menepati kriteria DesaMall@KPLB dan lain-lain bentuk kerjasama relevan dan sesuai yang dirasakan perlu,” katanya.

Majlis MoU tersebut berlangsung di Pejabat ELokal yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Rina berkata, kedua-dua pihak terlibat secara aktif dalam pembangunan program itu termasuk mengenal pasti peluang, model perniagaan, terma komersial dan maklumat lain.

“Ia adalah kerjasama dengan pemain industri dan agensi kerajaan yang relevan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak untuk menjayakan serta merealisasikan Program DesaMall@KPLB,” katanya.

Beliau berkata, MoU itu juga berkuat kuasa bagi tempoh dua tahun bermula 16 Januari 2020 hingga 16 Januari 2022.

Artikel Berkaitan:

“ELokal ialah sebuah syarikat e-Commerce enabler yang terlibat dalam pelaksanaan Program DesaMall@KPLB sejak ia mula dilancarkan pada Oktober 2017.

“Kerjasama itu bermula di antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada Oktober 2017 dengan pihak Celcom Axiata Berhad di mana ELokal sebagai rakan strategik Celcom Axiata Berhad terlibat sebagai penyedia latihan dan pentadbir DesaMall@KPLB.

“Latihan yang akan dilaksanakan merangkumi modul penentuan harga produk, kaedah penjualan, pemasaran produk, teknik copy-writing, promosi, pembayaran melalui payment gateway, teknik mengambil gambar produk dengan baik dan kemahiran berkaitan perniagaan dalam talian,” katanya.