'Inilah dia kisah Tahun Baru Cina kami'

Akhi Fairuz menceriakan kelas Tahun 1 anaknya. - Foto Twitter Akhi Fairuz
Akhi Fairuz menceriakan kelas Tahun 1 anaknya. - Foto Twitter Akhi Fairuz
A
A
A

ALOR SETAR - Cuti persekolahan bukanlah tiket bagi seseorang murid untuk melupakan ilmu dan menggunakan sepenuhnya masa dengan bermain.

Ketika inilah mereka mengambil peluang untuk berehat dan melakukan riadah bersama ahli keluarga.

Para ibu bapa juga perlu bijak memanfaatkan cuti sekolah dengan perkara berfaedah seperti mana penjaga ini mengisi masa terluang dengan melakukan aktiviti sempena cuti sambutan perayaan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.

Pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu atau dikenali Akhi Fairuz Al-Jengkawi telah turun padang menghiasi kelas darjah Tahun 1 anaknya iaitu di Sekolah Kebangsaan Taman Uda, Alor Setar, yang sebelum ini suram telah kembali ceria dan cantik!.

Katanya, pengubahsuaian kelas tersebut telah mendapat persetujuan guru bertanggungjawab dan dia turut memberi sokongan.

Meraih lebih 8,000 perkongsian, 10,100 tanda suka daripada netizen, status beliau yang dimuat naik di Twitter itu juga memaparkan gambar sebelum dan selepas pengubahsuaian kelas berkenaan.

Paparan Twitter beliau mencuri perhatian netizen.
Paparan Twitter beliau mencuri perhatian netizen.

Dari dinding berlubang, tingkap penuh dengan kertas bergantung, almari terkopak, akhirnya kelas tersebut dihiasi dengan warna yang menarik selain meja tulis diserikan dengan pelapik meja yang memukau sesiapa yang memandang.

Artikel Berkaitan:

"Meja pula kami pasang kertas berwarna dan plastikkan (dibalut plastik). Kita pasangkan 'skirt' pada meja tadi. Yeayy!!!," ciapnya pantas menarik perhatian netizen.

Kisah penuh inspirasi itu ternyata membuka mata masyarakat mengenai peranan ibu bapa dalam kemenjadian para pelajar.

"Inilah dia kisah Tahun Baru Cina kami. Orang lain pakat balik kampung dan bercuti, tapi kami bercuti di sekolah je.

"Semoga kisah ini memberi inspirasi kepada banyak pihak. Bab pendidikan anak-anak, usahlah kedekut. Kita hulur je selagi mampu Insya-ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Akhi Fairuz memberitahu, kerja-kerja pengubahsuaian dilaksanakan selama seminggu malah berazam untuk mencantikkan kelas anaknya ketika melangkah Tahun 2 hingga Tahun 6.