MFL percaya KFA sudah dapat gambaran lebih jelas

Kevin (dua, kiri) ketika perjumpaan bersama KFA dan Pengurusan MFL di Menara OBYU hari ini. - Foto Bernama
Kevin (dua, kiri) ketika perjumpaan bersama KFA dan Pengurusan MFL di Menara OBYU hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam percaya Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sudah mendapat gambaran lebih jelas mengenai Perlembagaan MFL selepas beliau mengadakan pertemuan dengan dua wakil KFA di ibu pejabat MFL, di sini, hari ini.

Beliau yakin pertemuan selama sejam itu sedikit-sebanyak membantu KFA dalam mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai beberapa isu berbangkit termasuk perpindahan pemain muda Lang Merah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kevin sebelum itu mengadakan pertemuan tertutup bersama Naib Presiden KFA Mohd Yusuri Yusof dan Exco KFA Shafferi Rejab yang turut dihadiri wakil pasukan UiTM FC, Perak dan PKNS FC yang bertindak selaku pemerhati bebas. KFA sebelum ini tidak menghantar wakil pada taklimat Liga Malaysia yang diadakan di Johor Bahru pada 3 Januari lepas.

“Pihak Kedah menyatakan mereka jelas dengan penerangan sebentar tadi dan saya harap tidak ada apa-apa masalah selepas ini.

“Rakan kongsi kita ada 24 pasukan dan juga FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) jadi kita kena prihatin terhadap mereka, jika ada masalah, ia juga melibatkan MFL. Kita kena pastikan apa saja masalah diselesaikan dengan baik dan tidak dijadikan isu di luar sana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Kevin memaklumkan, JDT sudah mengemukakan permohonan kepada MFL untuk mendaftarkan nama Muhammad Akhyar sebagai pemain mereka, namun statusnya masih lagi dalam proses pengesahan.

Beliau menjelaskan mengikut peraturan pendaftaran pemain Liga Malaysia, JDT memerlukan Surat Pelepasan daripada KFA dalam tempoh 14 hari selepas JDT membuat permohonan perpindahan pemain berusia 19 tahun itu pada 7 Januari lalu.

“JDT sudah menyerahkan nama Akhyar dan buat masa ini dia ada dalam senarai KIV (dalam perhatian) oleh kerana ada satu dokumen tidak mencukupi (Surat Pelepasan).

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun kita kena tahu bahawa peraturan-peraturan yang sedia ada tidak dapat menghalang pemain itu daripada didaftarkan jika pemain itu sah boleh didaftarkan," tegas Kevin.

Untuk rekod, MFL mewajibkan kesemua 24 pasukan Liga Super dan Liga Premier mendaftarkan minimum 20 pemain hari ini bagi proses semakan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan cukai pendapatan.

Sementara itu, Mohd Yusuri menyifatkan pertemuan berkenaan memberikan banyak input positif kepada KFA terutamanya dalam menamatkan isu perpindahan Muhammad Akhyar, namun beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Alhamdulillah, tadi kami ada sesi perbincangan yang cukup terperinci dan ada beberapa perkara dikongsi dengan kami wakil KFA.

“Kita juga diceritakan tentang jadual perlawanan dan insya-Allah ia akan memudahkan pasukan-pasukan dalam Liga-M ini melakukan persiapan lebih awal iaitu jadual perlawanan bagi musim 2020 dan 2021 (akan diberikan kepada setiap pasukan)," jelasnya.

Kontroversi perpindahan Muhammad Akhyar ke JDT berlarutan apabila Setiausaha Kehormat KFA Mohd Asmirul Anuar Aris dilaporkan berkata KFA tetap akan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana tidak yakin FAM dapat membuat keputusan yang adil.

Jawatankuasa Rayuan FAM sebelum ini mengekalkan keputusan bahawa Muhammad Akhyar hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA bagi membolehkan beliau berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan baharunya pula harus membayar RM75,000 kepada KFA. - Bernama