Pemain takraw pun kena berubah

Antara aksi dipamerkan pemain takraw negara semasa Sukan SEA Filipina tahun lalu. - Foto Team Malaysia
Antara aksi dipamerkan pemain takraw negara semasa Sukan SEA Filipina tahun lalu. - Foto Team Malaysia
A
A
A

USAHA untuk meningkatkan mutu skuad sepak takraw negara supaya mampu bersaing dengan gergasi takraw dunia, Thailand bukan hanya terletak di bahu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sahaja.

Sebaliknya bekas pemain kebangsaan, Mohd Azlan Abdul Mubin berkata, pemain juga perlu bertanggungjawab meningkatkan tahap permainan masing-masing selain berusaha mengatasi perang psikologi skuad Gajah Perang berkenaan.

"Memang masalah psikologi ini menjadi perkara utama kepada pemain ketika berhadapan dengan Thailand. Bagi saya PSM ada perancangan mereka sendiri untuk meningkatkan mental pemain.

"Tetapi, ia tidak cukup sebaliknya memerlukan pemain itu sendiri berubah dan berusaha lebih gigih terutama dalam meningkatkan daya tahan mental dan tidak gugup ketika berdepan tekanan regu Thailand.

"Jika pemain mampu mengatasi masalah gugup ini, saya percaya kita mampu sebaris dengan Thailand memandangkan teknik serta gaya permainan kita juga sudah hampir sama dengan mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Azlan Abdul Mubin
Mohd Azlan Abdul Mubin

Sebelum ini, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail memberitahu sedang cuba untuk mencari formula terbaik mengatasi masalah mental pemain negara yang sering gugup apabila turun berdepan Thailand.

Mengulas lanjut kata Mohd Azlan, kebanyakan pemain negara sering hilang tumpuan pada penghujung perlawanan ketika aksi berlarutan untuk menentukan pemenang.

Artikel Berkaitan:

"Apabila berdepan Thailand kita boleh beri cabaran kepada mereka dalam set pertama atau kedua. Tetapi, apabila mata terikat dan bertarung dalam deuce kita mudah tewas kerana gugup.

"Dalam takraw ini kena semua pemain dalam pasukan itu mempunyai mental yang kuat. Tidak boleh seorang sahaja, kalau tak pasukan itu akan kecundang. Jadi bagi saya pemain juga perlu berubah di samping perancangan yang bakal diatur oleh PSM," katanya.