Trak tentera terbalik, tiga Palapes Udara patah tangan

Sebuah lori tentera terbabas dan terbalik dalam kejadian di Bukit Jugra, Banting, petang tadi.
Sebuah lori tentera terbabas dan terbalik dalam kejadian di Bukit Jugra, Banting, petang tadi.
A
A
A

BANTING - Tiga penuntut universiti patah tangan manakala beberapa lagi turut cedera dalam kejadian sebuah trak tentera yang membawa kira-kira 30 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Udara terbabas lalu terbalik ketika menuruni Jalan Bukit Jugra, di sini, petang tadi.

Difahamkan, pegawai kadet Palapes yang terlibat terdiri daripada penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UMP), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UITM).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu turut membabitkan lima anggota tentera udara iaitu jurulatih serta pemandu.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas mereka semua selesai menjalani latihan menembak di Lapang Sasar Bukit Jugra dan dalam perjalanan ke kem tentera udara di Banting Baru.

"Laporan awal mendapati tiga penuntut mengalami patah tangan, seorang patah jari dan beberapa yang lain cedera ringan.

"Siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berpunca daripada brek trak yang gagal berfungsi dengan baik dan keadaan selekoh tajam hingga menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas di tebing jalan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih dijalankan.

Artikel Berkaitan: