Polis serbu rumah judi, tahan warga emas

Antara barang perjudian yang dirampas dalam operasi Ops Limau di sebuah premis di Taman Berkeley, Klang malam tadi.
Antara barang perjudian yang dirampas dalam operasi Ops Limau di sebuah premis di Taman Berkeley, Klang malam tadi.
A
A
A

KLANG - Sebuah rumah kedai di Taman Berkeley diserbu sepasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor malam tadi selepas disyaki menganjurkan kegiatan perjudian jenis lok kau (69) dadu dan pasar malam.

Serbuan sempena Ops Limau kira-kira jam 11 malam tadi membabitkan tingkat satu rumah kedai itu.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Azmi Syukor berkata, polis menahan sembilan individu termasuk dua warga emas.

"Pemeriksaan mendapati kesemua tangkapan termasuk seorang wanita adalah warga tempatan berusia lingkungan 33 hingga 67 tahun. Seorang lelaki didapati bertugas sebagai penjaga premis.

"Polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk berjudi termasuk cawan kaca, cip dan 23 biji mahjung selain wang tunai berjumlah RM12,175," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati premis itu sudah beroperasi kira-kira tiga minggu sempena perayaan Tahun Baru Cina dengan nilai pertaruhan serendah RM10.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Pokis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel Berkaitan: