Pastikan setiap cabang ada barisan kepimpinan lengkap

Yee Ling bersama (lima, kiri) bersama barisan kepimpinan Wanita PKR Perak bagi sesi 2018-2021.
Yee Ling bersama (lima, kiri) bersama barisan kepimpinan Wanita PKR Perak bagi sesi 2018-2021.
A
A
A

IPOH - Barisan kepimpinan Wanita PKR Perak yang baru dilantik akan memberi fokus memperkasa dan memantapkan organisasi sayap wanita parti di 24 cabang di negeri ini.

Ketua Wanita PKR Perak, Chua Yee Ling berkata, perkara utama yang akan diberi tumpuan ialah memastikan setiap cabang wanita di negeri ini mempunyai barisan kepimpinan yang lengkap.

"Penglibatan wanita muda dalam politik dan kerja sosial masyarakat akan dititikberatkan. Jadi, kita akan memastikan Ketua Srikandi dilantik di setiap cabang dan menyemarakkan program wanita muda.

“Maka, wanita Keadilan akan memberikan peluang seluas-luasnya dan mengalu-alukan wanita muda menyertai keluarga besar Keadilan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Dalam pada itu, Yee Ling berkata, pihaknya akan memastikan segala polisi, dasar dan agenda wanita yang dilaksanakan di peringkat Nasional akan digerakkan di peringkat negeri, cabang serta ranting.

"Visi Wanita PKR Perak bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup wanita, sebaliknya dengan penglibatan wanita yang lebih ramai, suara progresif wanita akan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih peduli kepada isu rakyat," katanya.

Mengenai cabaran Wanita PKR selepas PH menjadi kerajaan, beliau berkata, Wanita PKR perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran khususnya dalam kepimpinan urus tadbir kerajaan.

“Rakyat mempunyai masalah yang berbeza, maka untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah, Wanita Keadilan sebagai ejen penggerak di peringkat akar umbi perlu pastikan sentiasa ada informasi yang terkini untuk disampaikan ke bawah.

Artikel Berkaitan:

“Ini sangat penting supaya segala dasar, polisi dan agenda yang dilancarkan oleh kerajaan boleh dilaksanakan sepenuhnya dan memanfaatkan,” katanya.

Sementara itu, Yee Ling berkata, Wanita PKR Perak sentiasa komited terhadap gerak kerja membangun dan memberdayakan wanita negeri ini bersama-sama sayap wanita daripada parti PH yang lain.