Zuraida masih belum jawab surat tunjuk sebab

Saifuddin (tiga kanan) menandatangani plak kempen tiada surat sokongan bagi membanteras rasuah selepas menyampaikan Ucaptama dan Amanat 2020 di Putrajaya hari ini.
Saifuddin (tiga kanan) menandatangani plak kempen tiada surat sokongan bagi membanteras rasuah selepas menyampaikan Ucaptama dan Amanat 2020 di Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin masih belum menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin parti itu kepada beliau atas dakwaan salah laku disiplin.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, surat yang dikeluarkan beliau secara peribadi berhubung perkara sama juga masih belum dibalas Ahli Parlimen Ampang berkenaan.

Menurutnya, surat atas kapasiti peribadi itu dihantar kerana ucapan Zuraida pada satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada Disember lalu berunsur fitnah terhadapnya.

"Selain surat jawatankuasa disiplin kepada Zuraida saya juga ada hantar sepucuk lagi surat kepadanya.

"Itu bukan surat parti tapi surat saya kepadanya kerana ucapannya pada malam itu mengandungi unsur fitnah dan tuduhan kepada saya. Saya minta peguam saya hantar surat itu kepadanya sebelum ini," katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama dan amanat 2020 kepada warga kementerian beliau di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Zuraida diberikan tempoh selama 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya pada 17 Januari lalu.

Lembaga Disiplin PKR dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka pada Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Zuraida dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, antara pemimpin yang dikatakan memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ketika berucap pada majlis makan malam itu dipercayai di Hotel Renaissance, Zuraida menegur kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya faham perasaan diberi surat tunjuk sebab'

Anwar serah lembaga disiplin tentukan nasib Zuraida