Koronavirus: Kelantan serius pantau pintu masuk sempadan

Hasanuddin Hassan
Hasanuddin Hassan
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Polis Kelantan mengambil pendekatan serius memantau keadaan terutama di semua pintu masuk sempadan negara di sini bagi mengekang penularan wabak koronavirus.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri bagi mengetahui perkembangan semasa di negeri ini.

“Ada akta polis bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan keharmonian rakyat serta diambil serius.

“Anggota sememangnya sedia ada ditempatkan di semua pintu masuk sempadan negara dan bersedia dalam apa-apa penugasan berkaitan sekiranya diperlukan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, Kelantan masih bebas daripada wabak berkenaan namun beliau menyarankan orang awam supaya sentiasa mengutamakan kebersihan diri dan anak-anak mereka.

“Sebolehnya elakkan daripada berkunjung ke tempat tumpuan ramai bagi langkah awal pencegahan dijangkiti sebarang penyakit berjangkit.

“Orang ramai juga perlu peka pada perkembangan dari semasa ke semasa bagi mengekang penularan wabak yang boleh membawa maut,” katanya.

Suruhanjaya Kesihatan Negara China hari ini mengesahkan 4,515 kes membabitkan koronavirus di negara itu dengan jumlah kematian akibat penularan wabak tersebut sejumlah 106 orang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Nyawa lebih utama daripada impak ekonomi koronavirus: Lim Guan Eng

Menurut agensi berita Sputnik, pihak berkuasa kesihatan itu pada Ahad berkata sehingga 26 Januari, terdapat 2,744 kes disahkan koronavirus, 80 kematian manakala 51 lagi orang dibenarkan keluar hospital.

Dalam tempoh 24 jam lalu, suruhanjaya itu merekodkan 1,771 kes baharu yang disahkan dengan 26 kematian - 24 di wilayah Hubei dan masing-masing satu di Beijing dan di wilayah Hainan. Sembilan orang dibenarkan keluar hospital.

Virus mula dikesan di bandar Wuhan, China pada akhir Disember.

Pada Isnin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan tahap risiko global daripada sederhana kepada tinggi berikutan jumlah kes yang disahkan akibat koronavirus di seluruh dunia sejak Ahad lalu mencecah 2,014 orang termasuk 1,985 di China.