X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Koronavirus tidak beri implikasi ekonomi: Mohamed Azmin

Mohamed Azmin menyampaikan ucapan pada Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Strategik antara Petronas dan Agrobank: Program Memperkasakan B40 hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Koronavirus tidak memberi sebarang implikasi kepada ekonomi Malaysia setakat ini tetapi akan menjejaskan pertumbuhan negara sekiranya penularannya berterusan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masih belum ada keperluan untuk Malaysia menghentikan sementara aktiviti import eksport barangan dari China, terutamanya Wuhan dan kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif untuk menangani jangkitan tersebut dan memantaunya secara dekat.

"Seperti yang berlaku dengan penyakit lain sebelum ini jika berterusan pasti akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

"Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana ini perkara serius yang perlu dipantau oleh agensi dan kementerian berkenaan. Kita akan ambil maklumat dan nasihat daripada mereka tentang apakah langkah seterusnya untuk diambil," katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama strategik antara Petroliam Nasional Bhd dan Agrobank hari ini.

Setakat ini, empat kes koronavirus telah dikesan di negara ini.

Mengenai prestasi ringgit dan pasaran saham yang agak rendah berbanding pasaran serantau, Azmin berkata, asas ekonomi Malaysia masih kukuh dan pelabur tetap yakin untuk memilih Malaysia sebagai destinasi yang strategik.

Katanya sejak setahun lalu kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mengembalikan keyakinan pelabur dengan menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

"Daripada statistik, keyakinan pelabur telah kembali untuk datang ke Malaysia dan dengan pengumuman mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International yang baik baru-baru ini pastinya dapat membantu memulihkan keyakinan pelabur.

"Asas kita kekal kukuh dan kini keyakinan pelabur kembali kepada Malaysia dan kita berasakan 2020 merupakan tahun yang lebih baik untuk melihat kejayaan ekonomi negara," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!