Koronavirus: Selangor teliti semula misi pelaburan, lawatan ke luar negara

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad (kiri) ketika gimik Pelancaran Jurnal Al-Ummah pada Majlis Perhimpunan Agensi Hal Ehwal Islam Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad (kiri) ketika gimik Pelancaran Jurnal Al-Ummah pada Majlis Perhimpunan Agensi Hal Ehwal Islam Negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor akan meneliti semula misi pelaburan dan lawatan agensinya ke luar negara berikutan penularan koronavirus di China dan negara-negara lain yang sehingga kini telah meragut lebih 100 nyawa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya juga akan merujuk kepada Kementerian Luar untuk mendapatkan situasi terkini mengenai penularan koronavirus di negara-negara yang akan dituju sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

"Sebarang misi pelaburan atau lawatan kerajaan negeri ke negara yang kurang berisiko akan diteruskan dan kita akan teliti semula jika ada tindakan selanjutnya tetapi seperti mana lazimnya kita akan merujuk kepada Wisma Putra terlebih dahulu untuk maklum balas dan nasihat kerana biasanya mereka (Wisma Putra) mempunyai maklumat terkini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Perhimpunan Agensi Hal Ehwal Islam Selangor yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad.

Amirudin berkata, pihaknya percaya kepada kemampuan kerajaan Pusat berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang ada untuk melakukan langkah sewajarnya bagi membendung penularan virus berkenaan di negara ini mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

"Kerajaan mampu untuk tangani isu ini berdasarkan pengalaman kita sebelum ini. Tidak perlu untuk kita menekan 'panic button’ tidak tentu arah, malah kita juga berjaya menghalang transmisi penyakit ini antara manusia ke manusia. Ada yang dikesan positif berjaya dikawal dan dikuarantin," katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut menggalakkan masjid dan surau serta umat Islam di seluruh Selangor mengadakan solat hajat bagi memohon Malaysia dilindungi daripada penularan virus berkenaan.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan tahap risiko global daripada 'sederhana’ kepada 'tinggi’ berikutan jumlah kes yang disahkan akibat koronavirus di seluruh dunia mencecah 2,014 orang termasuk 1,985 di China. - Bernama

Artikel Berkaitan: