Gagal seludup 100 botol ubat batuk

Sebanyak 100 botol ubat batuk bernilai RM3,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran berjaya digagalkan PGA dalam operasi di landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar, Perlis kelmarin.
Sebanyak 100 botol ubat batuk bernilai RM3,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran berjaya digagalkan PGA dalam operasi di landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar, Perlis kelmarin.
A
A
A

PADANG BESAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan seorang lelaki untuk menyeludup keluar 100 botol ubat batuk di landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar dalam Op Wawasan di sini kelmarin.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, suspek yang membawa sebuah beg berwarna biru dan hitam dikesan ketika berjalan ke arah pagar sempadan Malaysia-Thailand kira-kira jam 1.30 petang.

"Suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan itu bagaimanapun terus melarikan diri selepas dihampiri anggota PGA.

"Suspek yang berjaya melarikan diri ke arah Thailand melalui pagar KTM telah mencampakkan beg yang dibawanya," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam beg tersebut menemui 100 botol disyaki cecair ubat batuk yang dianggarkan bernilai RM3,000.

Katanya, rampasan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.

Dalam kes yang berlainan, PGA merampas daun ketum seberat 90 kilogram bernilai RM13,500 dalam operasi di kawasan semak di Padang Besar, Sabtu lalu selepas mengesan individu yang mencurigai menghampiri pagar keselamatan Malaysia-Thailand.

"Terdapat tiga guni berisi daun ketum ditinggalkan di kawasan tersebut. Rampasan kemudian dibawa ke IPD Padang Besar untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: