Waris tujuh kanak-kanak dicari

Dari kiri (atas): Muhammad Ali, Abu Hurairah, Luqman dan Lily
Dari kiri (bawah): Sahidatul Aqma, Thiru dan Adam
Dari kiri (atas): Muhammad Ali, Abu Hurairah, Luqman dan Lily Dari kiri (bawah): Sahidatul Aqma, Thiru dan Adam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ibu kandung atau waris kepada tujuh kanak-kanak digesa tampil ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi urusan dokumen dan penempatan kesemua mereka kelak.

JKM Klang menerusi satu kenyataan memaklumkan Lily Awliya berusia enam bulan yang menerima rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang kerana dilahirkan pra matang tidak pernah dikunjungi sesiapa sejak dilahirkan 18 Julai lalu.

Menurut kenyataan itu, bayi tersebut ditempatkan sementara di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras selepas ibunya Faridah Sedulang yang juga warga Indonesia gagal dikesan.

“Mereka yang mempunyai maklumat berhubung warisnya diminta menghubung Pelindung Kanak-Kanak Daerah Klang, Nor Airlien Mohd Shafinye di talian 0333413703,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan lain, JKM Kuala Lumpur sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada Sahidatul Aqma Abdullah, 10; Abu Hurairah Abdullah, 10; Luqman, 9; Adam Haziq Abdullah,13, dan P Thiru Murugan, 5.

Kenyataan itu memaklumkan Sahidatul yang dilahirkan pada 6 Oktober 2009 di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah diserahkan kepada keluarga angkat oleh ibu kandung bernama Tihama seorang wargan Indonesia tanpa sebarang dokumen pengenalan.

Abu Hurairah yang dilahirkan pada 5 November 2009 pula ditinggalkan ibu kandung, Fauziah Mohamad Amin di Hospital Kuala Lumpur selepas dilahirkan.

“Luqman yang lahir pada 1 Mac 2010 ditinggalkan ibu bapanya selepas mendapat rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) fizikal itu juga disahkan menghidap ‘spinal bifida’ iaitu tulang belakang membongkok dan tidak boleh berjalan.

Artikel Berkaitan:

“Setelah mendapatkan rawatan kesihatan kanak-kanak berkenaan semakin baik dan boleh berjalan biasa namun tiada waris yang mengunjunginya sepanjang ditempatkan di JKM,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan Adam yang dilahirkan pada 5 Oktober 2006 dirujuk oleh Pegawai Perubatan Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur pada tahun 2007 selepas ibu kandung, Noraliza Osman tidak menuntut anaknya.

“Adam diperintahkan oleh Mahkamah Bagi Kanak-kanak Kuala Lumpur untuk ditempatkan sementara di Taman Sinar Harapan Jitra, Kedah bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Thiru pula yang dilahirkan pada 3 Februari 2014 pula dirujuk oleh Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur kepada pihak JKM kerana kanak-kanak berkenaan memerlukan penempatan.

“Individu yang mengenali kanak-kanak berkenaan diminta berhubung dengan Pegawai Pelindung JKM Wilayah Persekutuan di talian 0326124000,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu JKM Daerah Petaling sedang mengesan waris kepada Muhammad Ali Sheikh Abdul Rahman,10.

Menurut kenyataan itu Muhammad Ali dilahirkan pada 21 Ogos 2010 dan beralamat terakhir di Jalan SS21/52 Damansara Utama.

“Sebelum ini Muhammad Ali dijaga oleh pasangan Hasmida Mohd Darus dan Shikh Zaid Shikh Abu Bakar.

“Kami minta sesiapa yang mengenali waris atau ibu angkat kanak-kanak menghubungi Pegawai Pelindung di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling di talian 0378422584 /0378422587 dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.