X

Kindly register in order to view this article
!

Buges berketurunan Bugis

Buges bersama isteri,Timah dan dua orang anak perempuannya hasil perkongsian hidup bersama isteri keduanya itu.
A
A

JASIN - “Disebabkan nama ini, dua anak saya pernah menangis dan merajuk,” kata tukang pembersihan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Batang Melaka ketika berkongsi cerita mengenai namanya.

Buges yang berusia 70 tahun berkata, anaknya menangis kerana diejek rakan dengan panggilan ‘anak bugis’ ketika mereka masih menuntut di sekolah rendah.

Ketika itu, katanya, rakan-rakan sekelas menganggap orang Bugis tidak sama dengan kaum Melayu.

Menurutnya, walaupun kata-kata itu dianggap sebagai sebagai usikan dan kenakalan kanak-kanak namun dia pernah memberi nasihat kepada seorang murid yang mengejek anaknya.

“Ada cerita di sebaliknya. Biasalah budak-budak tetapi anak saya tidak suka kawannya memanggilnya dengan panggilan anak Bugis,” katanya yang menetap di Kampung Batang Melaka Hilir.

Bagaimanapun katanya, dia tidak berkecil hati, malah tersenyum sendiri mengingatkan peristiwa itu kerana dia berdarah Bugis di sebelah keturunan arwah ibunya.

Tambah Buges, ibunya berasal dari Bunut, Pontian, Johor dan kemungkinan disebabkan nama Buges itu mudah diingati dan disebut dia yang merupakan anak bongsu diberikan nama tersebut.

Buges menunjukkan namanya yang tertera pada MyKad.
Buges menunjukkan namanya yang tertera pada MyKad.

Buges yang berasal dari Kuala Ina Pulau Sebang, Alor Gajah bagaimanapun bangga mempunyai nama itu kerana menganggap seribu satu orang yang mempunyai nama sama dengannya.

Posmen mudah cari rumah

Buges berkata, posmen yang menghantar surat tidak sukar mencari alamat rumahnya walaupun baru bertugas kerana keunikan namanya.

“Biasanya kalau ada yang nak menghantar surat dan barang ke rumah saya tidak ada masalah kerana hanya satu saja yang bernama Buges.

“Secara tidak langsung nama kita sudah mempermudahkan urusan orang dan saya bersyukur diberikan nama unik itu walaupun saya tak pernah tahu kenapa ibu bapa saya berikan nama ini kepada saya,” katanya.

Memiliki nama itu menjadikan Buges tidak terlepas diajukan soalan sama dia mempunyai darah berketurunan Bugis atau sebaliknya.

Ini kerana katanya, ada yang menganggap nama Buges itu sebagai panggilan mesra dalam kalangan penduduk kampung sedangkan itulah nama yang tertulis pada MyKadnya.

“Mungkin disebabkan emak saya berdarah Bugis dan itu yang terlintas pada fikiran arwah mak ayah, jadi mereka letak nama itu,” katanya.

Walaupun mengidap sakit jantung namun Buges masih bekerja membersihkan kawasan sekolah SRA Batang Melaka di bawah seliaan Majlis Agama Isma Melaka (MAIM) untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Walaupun mengidap sakit jantung namun Buges masih bekerja membersihkan kawasan sekolah SRA Batang Melaka di bawah seliaan Majlis Agama Isma Melaka (MAIM) untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Dia yang mendirikan rumah tangga bersama isteri, Timah Osman, 54, sejak 16 tahun lalu bersyukur dianugerahkan keluarga bahagia termasuk dua orang anak lelaki hasil perkahwinan sebelum ini selepas pemergian isteri pertama dan dikurniakan dua anak perempuan berusia 15 dan 14 hasil perkahwinan mereka bersama.

Menurutnya, biarpun keadaan keluarga serba kekurangan namun dia bersyukur mendapat bantuan Zakat Melaka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas menjalani pembedahan jantung tahun lalu.

Dikenali sebagai Pakcik Buges dalam kalangan murid-murid sekolah katanya, mereka amat menghormati dirinya.

“Bukan senang orang nak ingat nama kita. Bila orang ingat dan panggil gelaran serta nama, seperti Pakcik Buges, itu bermakna mereka menghormati kita walaupun kita hanya bekerja sebagai tukang bersih di sekolah,” katanya.

Katanya, biarpun semakin dimamah usia, namun mengenangkan dua orang anak yang masih bersekolah menengah dia terpaksa bekerja selain dibantu isterinya yang mengambil upah menjahit.

“Apa jua nama kita, kita kena bangga sebab nama itu yang diberikan oleh dua orang tua kita dan berusaha untuk menjaga nama baik itu,” katanya.