Pak Non perjuang seni wau tradisional

Pak Non aktif menghasilkan wau sejak tahun 1972 lagi.
Pak Non aktif menghasilkan wau sejak tahun 1972 lagi.
A
A
A

KANGAR - Minat mendalam terhadap wau sejak dari zaman kanak-kanak memberi semangat kepada Samad Man untuk terus mengangkat seni membuat wau tradisional walaupun telah berusia 73 tahun.

Samad yang lebih mesra dengan panggilan Pak Non bukan satu nama asing dalam pembuatan wau negara, malah beliau telah mendapat pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf Wau oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2018.

Anak kelahiran Kampung Tok Kaya, Kuala Perlis itu berkata, beliau mempelajari ilmu membuat wau daripada seorang tokoh pembuat wau di Kelantan, Yusof Omar kira-kira 40 tahun lalu di Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Wau telah sebati dalam hidup saya sejak dari usia kanak-kanak, selagi masih sihat dan mata masih ‘cerah’ Pak Non akan terus buat wau kerana ia bukan hanya memberi kepuasan peribadi sebaliknya Pak Non anggapnya sebagai satu tanggungjawab yang harus terus dipertahankan,” katanya.

Samad berkata, kualiti wau terletak pada jenis buluh yang digunakan dan beliau lebih gemar menggunakan Buluh Duri kerana ia tahan lama dan lebih anjal.

“Kalau di Kelantan, pembuat wau di sana lebih gemar menggunakan Buluh Betung tapi Pak Non lebih suka guna Buluh Duri kerana ia lebih mudah diperoleh di sini (Perlis),” katanya.

Bapa kepada lima orang anak dan mempunyai 10 orang cucu itu berkata, beliau mengambil masa dua minggu hingga sebulan untuk menyiapkan satu wau dan ia bergantung kepada jenis, saiz dan ukiran hiasan pada wau yang ditempah.

“Kalau buat wau biasa Pak Non boleh siapkan dalam masa satu hari tetapi mengambil masa yang agak lama untuk hasilkan wau yang mempunyai ukiran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Samad berkata, terdapat tiga jenis wau yang popular di negara ini iaitu Wau bulan, Wau Kucing dan Wau Jala Budi yang juga dikenali sebagai Wau Malaysia.

Katanya, jenis wau berbeza setiap negeri dengan Wau Puyuh di Kelantan, Wau Kapal di Selangor dan Wau Lang di Perlis.

“Wau Lang direka berdasarkan keunikan burung helang dan ia merupakan wau tradisional yang menjadi lambang kemegahan rakyat Perlis,” katanya.

Beliau berkata, wau semakin diminati oleh rakyat negeri Perlis berikutan pertandingan wau yang sering diadakan di negeri ini ketika musim angin timur iaitu dari bulan Disember hingga Mac.

Samad mula aktif menghasilkan wau sejak 1972 dan hasil karya beliau pernah mendapat tempat di Istana Arau, Perlis dan menjadi simbol kepada sebuah syarikat penerbangan negara.

Hasil kerja tangan beliau juga pernah dipamer di luar negara antaranya di World Sport Cultural And Festival di Busan, Korea Selatan pada 2008 dan World Expo di Shanghai, China pada tahun 2010.-Bernama