X

Kindly register in order to view this article
!

Rukun Negara gagal kerana hanya dihafal

Kok Seong ketika ditemu bual Sinar Harian menegaskan Rukun Negara gagal mencapai matlamatnya apabila tiada kesinambungan supaya rakyat menghayati dan menjiwai lima teras prinsipnya. - Foto: Rosli Talib
A
A

BANGI - Felo Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong menegaskan Rukun Negara gagal mencapai matlamatnya walaupun mencapai usia 50 tahun pembentukannya.

Beliau berkata, Rukun Negara yang merupakan ideologi kebangsaan bagi memupuk perpaduan sesama kaum hanya sekadar diingati dan dihafal oleh rakyat Malaysia tanpa penghayatan yang sebenar.

“Semua pihak selalu bercakap peri pentingnya Rukun Negara. Bagaimanapun, kita kena akui bahawa Rukun Negara itu gagal. Rukun Negara digubal setelah berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Rukun Negara itu tidak lain tidak bukan adalah satu ideologi perpaduan.“Jadi kita perlu lihat balik sejauh mana Rukun Negara itu berjaya menyatupadukan kita semua. Nampaknya tidak begitu berjaya dan selalu orang bercakap tentang kita kurang menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara itu.

“Memang betul kita tak hayatinya. Bagaimana kita nak hayatinya sedangkan ia dilancarkan dalam bentuk kita menghafal sahaja lima prinsip dalam Rukun Negara. Kita bacanya dalam ikrar. Ia tidak lebih sekadar membaca ikrar dan menghafal lima prinsip Rukun Negara,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian di pejabatnya di ATMA UKM di sini baru-baru ini.

Kok Seong - Foto: Rosli Talib
Kok Seong - Foto: Rosli Talib

Beliau berkata, kerajaan pada awal 1970-an seharusnya merancang pengisian Rukun Negara bagi memastikan rakyat menghayati pengertian sebenar lima teras dalam Rukun Negara.

Sebagai contoh, katanya, kumpulan pemikir dalam kalangan ahli akademik negara seharusnya menerapkan Rukun Negara dalam kurikulum sekolah supaya nilai-nilai Rukun Negara itu dapat dihayati sepenuhnya.

“Sepatutnya lima prinsip itu perlu ada pengisian yang lebih. Pada saya, ahli akademik negara harus diberi peranan untuk menggubal kurikulum bagi menerapkan Rukun Negara.

“Maksudnya mesti ada kurikulum untuk Rukun Negara di sekolah bermula di tadika dan diperkasakan di sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Kalau kita mula dari awal, dalam tempoh 50 tahun itu sudah tentu kita dapat terapkan nilai kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Kok Seong ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian di UKM, Bangi baru-baru ini.  - Foto: Rosli Talib
Kok Seong ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian di UKM, Bangi baru-baru ini. - Foto: Rosli Talib

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia yang dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara iaitu setahun selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 yang menghancurkan perpaduan dan ketenteraman negara.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas kempen Uninstall Kebencian: Reboot #MalaysiaHarmoni yang diketengahkan oleh Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub baru-baru ini, Kok Seong yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) menyambut baik usia berkenaan memandangkan hubungan etnik pada hari ini kian meruncing.

ARTIKEL BERKAITAN: Umat Islam perlu jadi ejen perubahan

“Beliau (Hussamuddin) berani memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu tentang hubungan etnik kita yang semakin hari semakin teruk. Saya menganggap usaha beliau itu sebagai sumbangan negarawan yang meletakkan Malaysia sebagai keutamaan yang paling tinggi.

“Mesej yang disampaikan oleh beliau cukup jelas dan keras iaitu sudah sampai waktunya pihak berkuasa melakukan satu tindakan yang jitu dan konkrit sifatnya untuk menangani masalah hubungan etnik yang begitu meruncing. Jadi saya sokong kuat usaha beliau,” katanya.

Kempen berkenaan dibuat bagi mengembalikan semula keutuhan kaum di Malaysia selain mencadangkan 13 Mei 2020 dijadikan sebagai Hari Merayakan #MalaysiaHarmoni.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus