Rangka kerja keusahawanan rancang wujudkan sejuta pekerjaan

Datuk Seri Redzuan Yusof - Foto Bernama
Datuk Seri Redzuan Yusof - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rangka Kerja Keusahawanan Kebangsaan (NEF) yang inklusif dan berdaya saing, yang dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun ini, bertujuan untuk menjana sehingga satu juta pekerjaan dalam pelbagai peluang dan keupayaan di Malaysia dalam tempoh tempoh lima tahun.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof berkata, teras strategik dalam NEF akan menyasarkan penciptaan pekerjaan baharu dalam sektor seperti automotif, aeroangkasa dan pertanian serta bidang pertumbuhan tinggi yang lain.

"Projek kereta nasional baru yang sering diperkatakan itu sendiri akan membawa banyak kemahiran dan keupayaan, seperti kejuruteraan struktur dan mekanikal, elektrik dan elektronik, perisian, internet perkara dan robotik.

"Projek kereta nasional baharu itu pasti akan menjadi pemangkin untuk mengembangkan keupayaan kita," katanya kepada satu perhimpunan media hari ini.

Mohd Redzuan berkata, NEF juga berhasrat untuk mengukuhkan sumbangan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana daripada 37.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2017 kepada 41 peratus menjelang 2020.

Menurutnya, NEF juga merancang memanfaat potensi kerjasama, melaksanakan konsep protege dan mengembangkan skop pasaran halal Malaysia.

"Kementerian Pembangunan Usahawan telah menandatangani memorandum kerjasama dengan Jepun mengenai halal, untuk memastikan produk dan perkhidmatan halal Malaysia dapat memasuki pasaran Jepun sebelum Sukan Olimpik dan Paralimpik akan datang pada 2020," katanya. NEF itu akan dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.- Bernama

Artikel Berkaitan: