Sumbat lembu curi dalam kereta Kancil

Lembu betina milik penduduk disumbat oleh dua suspek ke tempat duduk belakang kereta Kancil sebelum dilarikan. (Photo: Pembaca). Gambar kecil:Abdul Rahim Daud
Lembu betina milik penduduk disumbat oleh dua suspek ke tempat duduk belakang kereta Kancil sebelum dilarikan. (Photo: Pembaca). Gambar kecil:Abdul Rahim Daud
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan dua lelaki mencuri lembu dengan menyumbat haiwan terbabit dalam kereta Perodua Kancil gagal apabila salah seorang daripadanya berjaya diberkas penduduk kampung di tali air Kampung Bechah Terap di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun berjaya ditangkap penduduk, manakala seorang lagi suspek telah melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian tersebut disedari penduduk kampung dan salah seorang memaklumkan perkara itu kepada pemilik lembu betina terbabit, sebelum ia kemudian disahkan pemilik (pengadu) selepas mendapati lembu ditambat di tepi tali air Kampung Bechah Terap tiada di tempat kejadian.

“Maklumat diperoleh daripada orang kampung mendapati sebuah kereta jenis Perodua Kancil berwarna putih yang mencurigakan melarikan lembu pengadu.

“Selepas itu, pengadu bersama penduduk terserempak dengan kereta tersebut lalu menahannya di tepi jalan Kampung Padang Bembam, namun pengadu dan penumpang kereta tersebut terus melarikan diri ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pengadu dan penduduk kemudian menjejaki kedua-dua suspek di kawasan sekitar sebelum menangkap seorang daripada mereka di tepi jalan Kampung Panjang, di sini pada jam 10 pagi.

“Setelah diperiksa kereta itu didapati seekor lembu betina milik pengadu berada di bahagian tempat duduk belakang di dalam kenderaan tersebut.

“Pengadu seterusnya menyerahkan suspek yang berasal dari Peringat, Melor itu, kereta dan lembu kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian selepas dihubungi orang ramai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kereta berkenaan turut menemui seunit telefon bimbit dan sebotol plastik di dalamnya mengandungi empat penyedut minuman.

Jelasnya, polis kini sedang mengesan rakan suspek yang masih bebas dan usaha mencari sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.