Pesawat misteri terhempas di Afghanistan

Syarikat penerbangan Ariana Afghan Airlines menafikan khabar angin yang mendakwa pesawat milik mereka terlibat dalam nahas tersebut. - Foto Agensi
Syarikat penerbangan Ariana Afghan Airlines menafikan khabar angin yang mendakwa pesawat milik mereka terlibat dalam nahas tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

GHAZNI - Sebuah pesawat terhempas di wilayah Ghazni yang dikawal kumpulan Taliban di Afghanistan semalam, namun tiada butiran lanjut tentang jenis pesawat atau jumlah penumpang terkorban dalam kejadian itu.Jurucakap Gabenor Ghazni, Aref Noori berkata, nahas itu berlaku pada jam 1 tengah hari (waktu tempatan) di daerah Deh Yak. Pesawat itu dipercayai melakukan penerbangan antara bandar Kandahar dan Kabul.

“Dua mayat juruterbang ditemui di lokasi nahas dan pesawat tersebut musnah sepenuhnya. Kami masih tidak dapat mengesahkan sama ada ia adalah pesawat tentera atau komersial. Ia juga bukan milik syarikat penerbangan domestik,” katanya.

Susulan kejadian itu, tentera Amerika Syarikat (AS) memaklumkan mereka sedang menyiasat insiden tersebut selepas serpihan bangkai pesawat Bombardier E-11A ditemui di lokasi nahas.

Difahamkan, ia digunakan oleh tentera AS untuk pengawasan elektronik ke atas Afghanistan.

Di media sosial, banyak pihak mendakwa pesawat terbabit adalah milik Ariana Afghan Airlines.

Syarikat penerbangan itu bagaimanapun menafikan khabar angin tersebut dan mengesahkan kesemua penerbangan mereka mengikut jadual ditetapkan.

Pihak berkuasa penerbangan awam Afghanistan dalam satu kenyataan menafikan laporan jet tersebut adalah sebuah pesawat komersial.

“Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Pihak Berkuasa Pengawal selia Lalu Lintas dan Menara Kawalan, tiada nahas melibatkan pesawat komersial direkodkan malah Ariana Afghan Airlines juga mengesahkan perkara tersebut,” ujar agensi tersebut. - AFP

Artikel Berkaitan: