Lima juta penduduk tinggalkan Wuhan

Datuk Bandar Wuhan mendedahkan kira-kira lima juta penduduk telah meninggalkan Wuhan sempena Festival Musim Bunga sebelum arahan sekatan keluar masuk negara akibat koronavirus dikeluarkan.
Datuk Bandar Wuhan mendedahkan kira-kira lima juta penduduk telah meninggalkan Wuhan sempena Festival Musim Bunga sebelum arahan sekatan keluar masuk negara akibat koronavirus dikeluarkan.
A
A
A

WUHAN - Datuk Bandar Wuhan mendedahkan kira-kira lima juta penduduk telah meninggalkan Wuhan sempena Festival Musim Bunga sebelum arahan sekatan keluar masuk negara akibat koronavirus dikeluarkan.

Pendedahan itu dibuat ketika para pegawai kesihatan memberi amaran bahawa kemampuan virus terbabit untuk merebak semakin kuat.

Datuk Bandar, Zhou Xianwang berkata, terdapat kira-kira sembilan juta orang masih berada di bandar raya itu yang kini berada di bawah pemerhatian, kira-kira 1,000 daripadanya mungkin akan menjadi kes yang disahkan.

“Kerajaan Pusat mengenakan arahan sekatan ke atas Wuhan dan beberapa bandar raya dengan harapan ia dapat menghentikan virus baharu itu daripada merebak ke bahagian lain di negara itu.

“Bagaimanapun, ramai yang telah meninggalkan bandar Wuhan untuk bercuti, sementara yang lain bergegas keluar sebaik sahaja arahan tersebut diumumkan pada Rabu lalu,” katanya

Terdahulu, Perdana Menteri China, Li Keqiang berkata, negara itu akan mengetuai kumpulan peringkat tertinggi dalam usaha melawan wabak koronavirus yang telah membunuh seramai 80 orang dan menjangkiti lebih daripada 2,500 yang lain.

Terdahulu, Menteri Kesihatan China, Dr Ma Xiaowei juga memberitahu bahawa usaha memerangi wabak tersebut amat rumit disebabkan virus tersebut mampu merebak walaupun semasa tempoh inkubasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan koronavirus dibuat dalam makmal tidak benar

Artikel Berkaitan:

“Dari pemerhatian, virus ini mampu disebarkan walaupun semasa tempoh inkubasi yang berlaku sehingga 14 hari.

“Sesetengah pesakit mempunyai suhu normal dan terdapat banyak kes yang lebih ringan dan ada juga yang membawanya secara tersembunyi,” katanya.

Sementara itu, Beijing mengesahkan lima lagi kes termasuk seorang bayi berusia 9 bulan, sekali gus menjadi kes pertama melibatkan bayi.

Langkah pemeriksaan suhu tubuh didakwa dapat mengenal pasti pesakit berpotensi yang dijangkiti koronavirus tersebut. - AFP
Langkah pemeriksaan suhu tubuh didakwa dapat mengenal pasti pesakit berpotensi yang dijangkiti koronavirus tersebut. - AFP

Kerajaan China telah mengharamkan penjualan daging hidupan liar dalam usaha mengekang wabak koronavirus daripada tersebar.

Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China dalam satu kenyataan berkata, hasil pemeriksaan pihak berkuasa kesihatan, dipercayai virus tersebut mula muncul melalui binatang eksotik yang dijual di pasar makanan laut, bandar Wuhan.

Berdasarkan laporan sumber melalui Xinhua, virus baharu itu kini mula tersebar yang telah meragut 80 nyawa di China dan 2,500 kes telah dilaporkan di seluruh dunia.

“Sebarang bentuk perdagangan hidupan liar akan dilarang sepenuhnya pada semua platform termasuk di pasar, tempat makan dan juga platform e-dagang.

“Sekatan penjualan itu berkuat kuasa semalam dan akan berterusan sehingga berakhirnya virus tersebut daripada menjangkiti manusia," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan mengarahkan semua tapak yang menjual haiwan liar untuk dikuarantin di samping melarang pengangkutan penjual agar peniaga berdegil tidak dapat menjual haiwan liar demi keuntungan diri sendiri.

“Mana-mana premis peniagaan yang melanggar larangan itu akan ditutup dan jika serius, kita akan serahkan kepada pihak polis kerana ia satu perbuatan jenayah

“Kerajaan tempatan harus meningkatkan pengawasan untuk mencegah pelanggaran larangan itu dan orang awam harus menyedari risiko kesihatan memakan haiwan liar," katanya.