KPDNHEP semak semula undang-undang transaksi dalam talian

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyemak semula undang-undang mengenai kepenggunaan yang sedia ada berikutan peningkatan dalam aduan penipuan transaksi dalam talian.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata isu penipuan terutamanya yang berkaitan dengan perniagaan dalam talian kini menduduki tangga kedua dalam senarai aduan yang diterima dan isu tersebut tidak boleh dipandang remeh terutamanya daripada segi penguatkuasaan.

“Peniaga dalam talian ini, bukan hanya bernaung dibawah entiti yang sudah tersohor seperti Shopee atau Lazada.

“Jadi yang takrif dibawah jualan dalam talian ini bukan hanya satu syarikat...dia boleh jadi individu .. dan disitu kami ada kesulitan dalam penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas makan tengah hari sempena kempen Shopee Kongsi Fa Cai 2019 di sini hari ini.

Walaupun KPDNHEP mempunyai tribunal pengguna untuk menangani isu kepenggunaan, ia masih mempunyai kekurangan kerana undang-undang yang sedia ada tidak begitu berkesan.

“Antara kekurangan yang kita dapati adalah, untuk mengambil tindakan ke atas orang yang diadu, pengguna perlu membuat aduan, kementerian menyiasat dan syarat bagi tindakan diambil untuk membawa ke muka pengadilan dalam tribunal ini, notis perlu diberikan secara fizikal,” kata Saifuddin.

Oleh itu, pihak kementerian bersama dengan penasihat undang-undang akan meneliti semula klausa-klausa undang-undang yang sedia ada.

Peserta industri juga turut disarankan untuk tampil memberi pendapat bagi membanteras isu penipuan perniagaan dalam talian ini, katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Perniagaan Shopee Malaysia, Zed Li berkata, pihaknya telah pun mempunyai satu sistem yang dipanggil “Shopee Guarantee” bagi memastikan Malaysia mempunyai infrastruktur dan perkhidmatan yang betul membabitkan perniagaan dalam talian.

“Pada dasarnya, kita akan menahan wang daripada serahan kepada penjual, sehingga pembeli benar-benar menerima produk. Ini juga memberikan perlindungan kepada pembeli.

"Dan jika terdapat pertikaian di antara pembeli dan penjual, Shopee akan campur tangan dan menyelesaikan masalah berkenaan," kata Zed Li.

Beliau berkata, Shopee akan terus bekerjasama dengan KPDNHEP dalam menjaga hak pengguna serta mengembangkan industri e-dagang. - Bernama