Bayi nyaris jadi makanan anjing liar

Abdul (kanan) bersama rakannya menunjukkan lokasi bayi itu ditemui. Gambar kecil: Keadaan bayi lelaki yang hanya dibalut dengan kain batik di Kampung Pulai Baru, Tepoh semalam.
Abdul (kanan) bersama rakannya menunjukkan lokasi bayi itu ditemui. Gambar kecil: Keadaan bayi lelaki yang hanya dibalut dengan kain batik di Kampung Pulai Baru, Tepoh semalam.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang bayi lelaki yang ditemui di dalam tandas berhadapan tokong di Kampung Pulai Baru, Tepoh di sini nyaris menjadi makanan anjing liar selepas ditinggalkan di kawasan berkenaan semalam.

Bayi yang masih bernyawa dan bertali pusat itu ditemui oleh seorang pekerja kilang papan yang secara kebetulan mahu menggunakan tandas berkenaan kira-kira jam 10 malam.

Bagaimanapun, difahamkan disebabkan terlalu terkejut, lelaki warga Bangladesh itu merahsiakan penemuan bayi berkenaan hampir tiga jam sebelum menceritakan kepada rakan serumahnya, Abdul Karim, 38.

Menurut Abdul, sebelum itu dia didatangi rakannya yang dilihat dalam ketakutan memaklumkan menemui mayat seorang bayi yang dibungkus dengan kain batik di dalam tandas.

"Kawan saya memberitahu dia dalam perjalanan ke kedai runcit berhampiran dan singgah di tandas tersebut.

"Sejurus membuka pintu dia ternampak bayi berkenaan yang disangka sudah mati lalu bergegas meninggalkan lokasi itu tetapi hanya mendiamkan diri kerana terlalu takut. Bagaimanapun, dia menceritakan kepada saya tiga jam kemudian," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Abdul berkata, dia kemudiannya memaklumkan kepada penduduk setempat sebelum ke lokasi dan mereka menemui bayi yang tidak berbaju dibungkus dengan kain batik.

Difahamkan, lokasi penemuan bayi itu sering dipenuhi anjing liar yang mencari makanan kecuali pada musim perayaan Tahun Baru Cina kerana takut dengan bunyi bising mercun yang kerap dipasang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan bayi berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bayi itu tiada kesan atau suntikan BCG di anggota badannya.

"Pemeriksaan mendapati beberapa kesan gigitan serangga di siku kanan kerana ditinggalkan terlalu lama di lokasi.

"Kini, bayi tersebut menerima rawatan susulan di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu," katanya.

Katanya, polis sedang mengesan ibu serta identiti bayi tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.