Tangani masalah beli kenderaan di luar kemampuan
SHAH ALAM - Bayaran deposit pinjaman bank sebanyak 10 peratus bagi pembelian kenderaan dapat menangani isu kereta terpaksa dilelong kerana gagal melunaskan ansuran bulanan.
Pakar Kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, tempoh pinjaman juga wajar disingkatkan daripada sembilan tahun ke tujuh tahun untuk memastikan pembeli tidak memilih kereta lebih besar yang di luar kemampuan mereka.
“Kalau pembeli sudah bayar wang pendahuluan 10 peratus dan mereka telah membayar ansuran bulanan pinjaman dengan baik dalam tempoh tertentu, bank pun ada budi bicara dan tidaklah terlalu tegas untuk lelong kereta mereka.
“Tempoh pinjaman juga perlu dipendekkan ke lima atau tujuh tahun. Ini kerana bila dibuat sembilan tahun, orang akan ambil kereta yang dia tak mampu nak bayar. Dia akan ambil kereta yang lebih besar,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini timbul dakwaan berhubung peningkatan jumlah kereta lelong pada tahap menggerunkan apabila beribu-ribu unit sebulan kereta ditarik oleh bank.
Ia termasuk kenderaan model baharu dengan majoriti kereta yang terpaksa dilelong berkenaan adalah milik pembeli yang membuat pinjaman penuh.
Pada 12 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan jualan kereta dijangka menurun susulan ura-ura penghapusan pinjaman penuh terhadap pembelian kenderaan.
Bagaimanapun Shamsuddin berkata, pinjaman penuh bukanlah sebab utama pembeli gagal melunaskan ansuran bulanan tetapi disebabkan mereka salah urus pendapatan.
Menurutnya, bank tidak akan memberikan pinjaman kepada individu yang tidak mampu untuk membuat bayaran balik.
“Kalau pendapatan mereka dikira tak mampu untuk buat bayaran balik, bank tak akan luluskan pinjaman,” ujarnya.