X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Meghan dan Harry: Cinta mengatasi kuasa

Putera Harry memilih untuk menjalani kehidupan sebagai orang biasa bersama isterinya, Meghan.
A
A

MEGHAN Markle, aktres Amerika Syarikat yang memperjuangkan isu-isu kemanusiaan dan kewanitaan. Putera Harry pula seorang putera diraja Britain yang menjadi dambaan ramai wanita.

Kedua-duanya berkenalan menerusi pertemuan yang diaturkan rakan mereka pada musim panas tahun 2016 di London.

Harry jatuh cinta pandang pertama dan berkata Meghan ditakdirkan hadir untuk melengkapi hidupnya.

Perkenalan singkat mereka menciptakan bibit percintaan dan umpama kisah dongeng dengan pengakhiran 'happily ever after' Meghan dan Harry mendirikan rumah tangga pada 19 Mei 2018.

Kelahiran putera sulung, Archie Harrison Mountbatten-Windsor pada 6 Mei 2019 melengkapkan keluarga baharu Meghan, 39, dan Harry, 36, yang juga pewaris keenam takhta Britain itu.

Kelahiran Archie Harrison Mountbatten-Windsor pada 6 Mei 2019 melengkapkan keluarga baharu Meghan dan Harry.
Kelahiran Archie Harrison Mountbatten-Windsor pada 6 Mei 2019 melengkapkan keluarga baharu Meghan dan Harry.

Segala-galanya kelihatan sempurna sehinggalah baru-baru ini monarki Britain digemparkan dengan keputusan Putera Harry untuk berundur daripada keluarga diraja dan memulakan hidup berdikari bersama isteri dan anak lelaki mereka di Kanada.

Keputusan tersebut bermakna Duke dan Duchess of Sussex itu terpaksa melepaskan gelaran diraja dan tidak lagi dirujuk sebagai ‘Yang Amat Mulia’.

Pasangan itu juga tidak lagi mewakili Ratu Elizabeth II sekali gus tidak akan menerima dana awam bagi tugas diraja.

Meskipun hasrat Harry dan Meghan untuk melepaskan tanggungjawab sebagai anggota senior keluarga diraja Britain direstui oleh Ratu Elizabeth II, namun sudah pasti ia menimbulkan pelbagai persepsi.

Jika dilihat dari satu sudut, ia membuktikan betapa kasih dan cintanya Harry kepada Meghan hingga sanggup melepaskan segala kemewahan dan kelebihan sebagai putera raja.

Harry berkemungkinan tiada masalah untuk bergaul dan hidup seperti orang biasa kerana sejak kecil lagi beliau didedahkan kepada kehidupan 'normal' di luar pagar istana oleh mendiang ibunya, Puteri Diana.

Terkenal sebagai puteri berjiwa rakyat, Puteri Diana membesarkan Harry dan abangnya, Putera William dengan penuh kasih-sayang dan mengajar kedua-duanya untuk sentiasa membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan Meghan mempunyai beberapa persamaan dengan bekas isteri Putera Charles itu.

Kedua-dua wanita berkenaan dilihat menjadi mangsa kerakusan media Britain yang tidak mengendahkan privasi dalam mengejar cerita sensasi.

Sejak awal perhubungan mereka, Harry melindungi Meghan dengan meminta pihak media agar tidak 'menyakiti dan membuli' wanita itu. Harry dikatakan jelak mendengar dan membaca pelbagai persepsi negatif yang digembar-gemburkan.

Ia berikutan cerita-cerita fitnah berkaitan Meghan yang disiarkan dalam akhbar, cubaan wartawan dan jurugambar memasuki kediaman wanita itu dan gangguan terhadap mereka yang rapat dengan Meghan.

Harry turut menepis pendapat bahawa segala perhatian media itu adalah harga yang harus dibayar Meghan apabila menjadi sebahagian keluarga diraja Britain yang terkenal.

Malah segelintir pihak berkata Meghan seharusnya tidak berasa kekok dengan perhatian media berikutan statusnya sebagai seorang aktres sebelum mengahwini Putera Harry.

"Terdapat pandangan mengatakan oleh kerana saya bekerja dalam industri hiburan saya pasti biasa dengan semua perhatian namun saya tidak pernah menjadi sebahagian budaya tabloid. Saya menjalani kehidupan yang agak tenang," kata Meghan dalam satu temuramah bersama BBC.

Dalam wawancara bersama stesen televisyen Britain, ITV, Meghan turut mendedahkan beliau menghadapi kesukaran berdepan pelbagai kritikan dan tohmahan yang dilemparkan media.

Susulan itu, Harry bertekad untuk tidak lagi menjadi saksi bisu kepada penderitaan Meghan.

Selain persamaan menerima tekanan media, Meghan dan mendiang Puteri Diana juga 'berani' melanggar protokol dan peraturan istana.

Sebagai contoh, kedua-duanya gemar memakai pakaian berwarna hitam meskipun mengikut peraturan keluarga diraja pakaian hitam hanya dipakai ketika berlaku kematian atau ketika berkabung.

Meghan (kiri) dan mendiang Puteri Diana merupakan dua wanita penting dalam hidup Putera Harry dan keduanya dikatakan mempunyai banyak persamaan.
Meghan (kiri) dan mendiang Puteri Diana merupakan dua wanita penting dalam hidup Putera Harry dan keduanya dikatakan mempunyai banyak persamaan.

Terkenal kerana kecantikan dan keramahan, mendiang Puteri Diana melibatkan diri dalam banyak organisasi kebajikan di seluruh dunia ketika hayatnya, antara momen paling diingati adalah ketika beliau berjalan merentasi kawasan periuk api di Angola pada Januari 1997.

Kisah Meghan juga tidak kurang hebatnya apabila beliau berjaya mengubah slogan sebuah iklan pencuci pinggan yang dirasakannya bersifat seksis terhadap wanita dengan menulis surat kepada syarikat pengeluar produk tersebut. Semua ini dilakukannya ketika baru berusia 11 tahun.

Ternyata, Meghan dan mendiang Puteri Diana mempunyai karakter dan aura tersendiri yang mampu menyumbang kepada kebaikan.

Mungkin banyak lagi persamaan antara Meghan dan mendiang Puteri Diana, namun yang paling utama kedua-dua wanita itu ialah insan penting dalam hidup Putera Harry.

"Saya telah kehilangan ibu dan kini saya melihat isteri saya menjadi mangsa kuasa yang sama," kata Harry merujuk kepada 'kekejaman' media terhadap ibunya yang maut dalam nahas jalan raya ketika dikejar paparazi.

Puteri Diana meninggal dunia pada 31 Ogos 1997 di Paris dan Putera Harry pada ketika itu baru berusia 12 tahun.

Tidak mahu sejarah berulang kembali, Putera Harry dilihat hanya mahu melindungi isteri dan anak kesayangan, tidak hairanlah sekiranya beliau nekad meninggalkan dunia glamor keluarga diraja dan mendahulukan keluarganya.

Namun begitu Putera Harry dan Meghan masih akan terus bersama-sama menyokong keluarga diraja Britain terutama nendanya, Ratu Elizabeth II dan menurut Putera Harry, Britain akan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya.

Ternyata cinta mempunyai kekuatannya tersendiri, di seluruh dunia beberapa keturunan diraja turut melepaskan pangkat dan kedudukan demi untuk bersama insan tercinta.

Putera Harry dan Meghan serta putera mereka bergambar bersama sebahagian keluarga diraja Britain. - Sussex Royal/Getty Images
Putera Harry dan Meghan serta putera mereka bergambar bersama sebahagian keluarga diraja Britain. - Sussex Royal/Getty Images

Berikut antara kisah cinta mengatasi kuasa:

1. Putera Philip - Walaupun dilahirkan dalam keluarga diraja, Putera Philip yang bukan daripada keturunan diraja Britain perlu melepaskan gelarannya ketika mengahwini Ratu Elizabeth II pada tahun 1947.

Putera Philip ialah anak kepada Putera Andrew dari Greece dan Denmark dan ibunya Puteri Alice, demi mengahwini Ratu Elizabeth II beliau harus menjadi rakyat Britain dan melepaskan kedudukannya sebagai pewaris takhta di Greece dan Denmark.

Sejurus sebelum perkahwinannya, Putera Philip diberi gelaran diraja baharu antaranya Knight of the Garter, Baron Greenwich, Earl of Merioneth dan Duke of Edinburgh.

Putera Philip yang bukan dari keturunan diraja Britain perlu melepaskan gelarannya ketika mengahwini Ratu Elizabeth II.
Putera Philip yang bukan dari keturunan diraja Britain perlu melepaskan gelarannya ketika mengahwini Ratu Elizabeth II.

2. Raja Carol II - Carol II, ialah putera sulung Raja Ferdinand I, pemerintah Romania. Beliau menjadi putera mahkota selepas kematian pakciknya pada tahun 1914.

Perkahwinan Carol II dengan puteri Raja Greece bernama Helen tidak bahagia dan Carol menjalinkan hubungan dengan seorang wanita bernama Magda Lupescu.

Melepaskan hak kepada takhta dan hidup dalam buangan sebelum menjadi Raja Romania pada tahun 1930, Carol kemudian dipaksa turun takhta dan sekali lagi hidup dalam buangan namun kali ini bersama Lupescu yang dikahwini pada tahun 1947.

Raja Carol II, putera sulung Raja Ferdinand I menjalinkan hubungan kemudian berkahwin dengan seorang wanita bernama Magda Lupescu.
Raja Carol II, putera sulung Raja Ferdinand I menjalinkan hubungan kemudian berkahwin dengan seorang wanita bernama Magda Lupescu.

3. Raja Edward VIII - Dalam skandal yang mencemarkan nama keluarga diraja Britain selama berdekad, Raja Edward VIII memilih untuk turun takhta demi mengahwini Wallis Simpson, seorang wanita dari Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1936.

"Sukar bagi saya menanggung tanggungjawab besar dan melaksanakan tugas sebagai raja seperti yang saya mahukan tanpa bantuan dan sokongan wanita yang saya cintainya," kata Edward dalam sebuah siaran radio pada ketika itu.

Tempat Edward digantikan adik lelakinya, Putera Albert dengan gelaran Raja George VI.

Raja Edward VIII dari Britain memilih untuk turun takhta demi mengahwini Wallis Simpson, seorang wanita dari Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1936. - Universal History Archive/Getty Images
Raja Edward VIII dari Britain memilih untuk turun takhta demi mengahwini Wallis Simpson, seorang wanita dari Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1936. - Universal History Archive/Getty Images

4. Puteri Atsuko - Pada Oktober 1952, Puteri Atsuko, anak Maharaja Jepun, Hirohito berkahwin dengan seorang petani tenusu bernama Takamas Ikda. Puteri Atsuko terpaksa melepaskan gelaran diraja dan tidak lagi boleh menerima elaun.

Meskipun berkahwin dengan orang biasa, seramai 30 anggota keluarga diraja hadir ke majlis perkahwinan Puteri Atsuko namun bapanya tidak hadir dipercayai kerana tidak sihat.

Puteri Atsuko, anak Maharaja Jepun, Hirohito berkahwin dengan seorang petani tenusu bernama Takamas Ikda. -
Puteri Atsuko, anak Maharaja Jepun, Hirohito berkahwin dengan seorang petani tenusu bernama Takamas Ikda. -

5. Puteri Ubolratana - Seorang puteri sulung bekas Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej dan ibunya, Permaisuri Sirikit Kitiyakara. Puteri Ubolratana berpindah ke Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan pelajaran dan ketika berada di Boston beliau jatuh cinta dengan seorang warga AS bernama Peter Jensen.

Percintaan tersebut menjadi skandal pada tahun 1972 namun Puteri Ubolratana rela melepaskan kedudukan dirajanya demi untuk berkahwin dengan Jensen.

Susulan itu, hubungannya dengan keluarga diraja Thailand berantakan sebelum kembali berdamai tidak lama kemudian namun malangnya, Ubolratana dan Jensen bercerai pada tahun 1998 dan beliau kembali ke Thailand bersama tiga orang anaknya.

Puteri Ubolratana dari Thailand pernah melepaskan gelaran diraja demi cintanya kepada seorang lelaki warga AS. - AP
Puteri Ubolratana dari Thailand pernah melepaskan gelaran diraja demi cintanya kepada seorang lelaki warga AS. - AP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus