Klinik swasta belum terima bekalan vaksin influenza

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Klinik swasta di beberapa negeri yang kehabisan vaksin influenza sejak awal Januari lalu belum menerima bekalan baharu.

Menurut sumber sebuah poliklinik di Permas Jaya, Johor Bahru, suntikan vaksin itu mendapat permintaan tinggi berikutan peningkatan kes jangkitan virus berkenaan baru-baru ini.

Katanya, kebanyakan klinik swasta di negeri tersebut berdepan situasi sama namun difahamkan bekalan vaksin terbabit dijangka diperoleh seawal Mac depan.

Sementara itu, sebuah klinik swasta di Muar, Johor menyarankan ibu bapa atau penjaga agar merujuk klinik kerajaan bagi mendapatkan keperluan perubatan terbabit.

“Kami tidak tahu bila bekalan vaksin baru sampai tetapi ibu bapa boleh merujuk klinik kerajaan kerana kebiasaannya klinik kerajaan akan menerima stok terlebih dahulu.

“Bagaimanapun vaksin influenza tidak berkesan untuk jangkitan koronavirus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Klinik swasta di Pokok Sena, Kedah dan Taman Melati, Kuala Lumpur serta Kota Bharu, Kelantan turut terputus bekalan vaksin tersebut.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa hampir 200,000 bekalan vaksin influenza akan dibawa masuk pembekal secara berperingkat dalam tempoh dua bulan bermula Januari.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16,800 akan diterima pada 18 Januari manakala 15,000 dan 67,000 dijangka tiba pada 20 serta 27 Januari.

Baki 100,000 lagi akan dibawa dalam tempoh selewat-lewatnya tiga minggu kemudian.