Mekanik hempas, hayun kucing didenda RM6,650

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang mekanik didenda RM6,650 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menghempas dan menghayun seekor kucing, merosakkan pintu pejabat pengurusan sebuah flat dan menakutkan dua wanita, dua tahun lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu ke atas R.K Keseva Muhunthan, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan ketiga-tiga perbuatan itu.

Tertuduh dikenakan denda RM3,500 atau empat bulan penjara bagi tuduhan melakukan khianat terhadap kucing, denda RM3,000 atau empat bulan penjara bagi tuduhan merosakkan pintu pejabat dan denda RM50 bagi tuduhan menakutkan dua wanita.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat kepada haiwan dengan cara menghayun dan menghempas seekor kucing berwarna putih pada pintu pejabat pengurusan Flat Desa Mentari.

Tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa telah menyebabkan kerosakan pada pintu gril pejabat pengurusan Flat Desa Mentari dengan menggunakan sebatang kayu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh mendatangkan ketakutan kepada dua wanita mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100. Kesemua perbuatan itu dilakukan di blok 9, Jalan PJS 2, Taman Medan, di sini pada 10.29 malam, 26 Nov 2017.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah pergi di hadapan flat itu membawa sebatang kayu dan membuat kacau serta menakutkan dua wanita.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga menghentak-hentak pintu pejabat sebelum menangkap seekor kucing lalu menghempas dan menghayun haiwan itu ke pintu pejabat.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon maaf kepada mahkamah atas perbuatannya dan merayu hukuman ringan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Saubian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman bagi memberi pengajaran terhadap tertuduh. - Bernama