Kawal sempadan Malaysia-Brunei elak warga China masuk ikut darat

Abang Johari Abang Openg
Abang Johari Abang Openg
A
A
A

KUCHING - Kawalan di pintu masuk di sempadan Malaysia-Brunei di Sungai Tujuh, Miri, bahagian Utara Sarawak akan diperketatkan bagi mengekang penularan 2019 novel koronavirus.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata terdapat kemungkinan pelancong China memasuki negara ini melalui jalan darat dari Sabah kemudian ke Brunei sebelum tiba di Miri.

“Pegawai semua agensi berkaitan sudah ditempatkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh bagi melakukan pemeriksaan rapi ke atas pelancong asing, khususnya warga China yang memasuki negeri ini melalui jalan darat.

"Ramai pelancong China menaiki penerbangan sewa khas mendarat di Kota Kinabalu, kemudian mereka melancong ke Sarawak,” katanya pada sidang media selepas Program Jom Berambeh Makan Durian di Surau Darul Qarar, Jalan Patingan di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching juga akan dipertingkatkan walaupun tiada penerbangan terus dari China, namun difahamkan pelancong China akan menaiki penerbangan dari Singapura untuk terus ke Sarawak.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang pagi ini mempengerusikan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN) berkata, kerajaan negeri akan mencari kaedah baharu bagi memantau perjalanan setiap individu yang memasuki Sarawak.

Beliau berkata, langkah dan pelan tindakan bersepadu perlu diambil oleh setiap agensi berkaitan bagi melindungi rakyat daripada ancaman virus itu.

“Akan ada penambahan aset dan peralatan bagi kawalan di pintu-pintu masuk utama. Esok akan ada sesi taklimat kepada agensi utama berkenaan tindakan bagi menghadapi penyakit koronavirus Wuhan, serta pengumuman polisi serta pelan tindakan yang holistik pada 29 Januari,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu yang membincangkan tindakan bagi menangani koronavirus di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Uggah, yang juga Pengerusi JPBN berkata, orang awam dinasihati agar mendapatkan rawatan segera di hospital sekiranya mengalami simptom batuk atau demam.

“Kerajaan negeri memandang serius berkenaan penularan koronavirus ini, ia sangat berbahaya dan boleh merebak dengan cepat. Sehingga kini, belum ada vaksin yang khusus bagi merawatinya,” katanya.

Setakad ini, seorang wanita di Bintulu disiasat bagi virus itu dengan pihak berkuasa kesihatan negeri masih menunggu keputusan makmal untuk mengesahkan sama ada beliau mangsa koronavirus atau tidak. Kini empat kes virus itu yang kesemuanya membabitkan warga China telah dilaporkan di Malaysia. - Bernama