Koronavirus: Pesakit dikuarantin di Hospital Permai stabil

Dr Sahruddin (depan) tiba di Hospital Permai bagi mengadakan mesyuarat dan taklimat tentang wabak koronavirus di sini hari ini.
Dr Sahruddin (depan) tiba di Hospital Permai bagi mengadakan mesyuarat dan taklimat tentang wabak koronavirus di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pesakit yang dikuarantin di Hospital Permai Johor Bahru selepas disahkan positif koronavirus kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pesakit itu akan dipantau sehingga simptom-simptom penyakit dialaminya menunjukkan tanda negatif dengan tempoh kuarantin selama 14 hari.

"Sebagaimana kita semua maklum, Hospital Permai Johor Bahru dan Hospital Sungai Buloh merupakan dua hospital di negara ini yang dijadikan pusat kuarantin bagi individu yang disyaki mempunyai simptom koronavirus," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pesakit terbabit termasuk latar belakang, usia dan tarikh mula dikuarantin, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pimpinan negara dan pihak berautoriti seperti Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Hospital Permai Johor Bahru
Hospital Permai Johor Bahru

Terdahulu, Dr Sahruddin mengadakan lawatan ke Hospital Permai pagi ini dan mengadakan mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, kerajaan negeri berpuas hati dengan langkah-langkah diambil KKM dalam menangani isu penularan wabak koronavirus di negeri ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tidak lagi terima pelancong Wuhan

Artikel Berkaitan:

Selain itu kerajaan negeri juga sentiasa memantau perkembangan koronavirus memandangkan Johor menjadi pintu masuk Malaysia- Singapura selain memiliki 13 pintu masuk udara, air dan darat.

Semalam, media melaporkan KKM memaklumkan mengenai pengesanan satu lagi kes disahkan dijangkiti 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) malam semalam, menjadikan jumlah individu disahkan positif kepada empat setakat ini.

Noor Hisham berkata, kes terbaharu ini merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China dan kes (pesakit) itu tiba di Johor Bahru pada Rabu (22 Januari) dengan menaiki bas dari Singapura.