X

Kindly register in order to view this article
!

Koronavirus: Masjid di Negeri Sembilan solat hajat serentak

Aminuddin (lima, kiri) bersama isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof (enam, kanan) hadir pada Majlis Pertemuan Mesra Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan China Negeri Sembilan, hari ini. -Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Seluruh masjid di Negeri Sembilan akan menganjurkan solat hajat serentak bagi memohon agar Malaysia dilindungi oleh Allah SWT, daripada penularan penyakit 2019 novel koronavirus.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkara itu sedang diselaraskan dan menunggu tarikh yang sesuai untuk ia diadakan.

“Kita nak buat solat hajat bukan sahaja mengenai masalah virus ini, bahkan juga memohon supaya diturunkan hujan kerana negeri ini sudah lama tidak hujan dan keadaan agak kering,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan China Negeri Sembilan (DPCNS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi DPCNS Tan Eng Beng serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Nicole Tan Lee Koon dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Choo Ken Hwa.

Sementara itu, Eng Beng dalam ucapannya menasihati semua ahli DPCNS agar menangguhkan lawatan ke Wuhan, China berikutan wabak koronavirus di sana. -

Di JOHOR BAHRU, kesemua sekolah di Johor diminta untuk melaksanakan solat hajat khas bagi mendoakan perlindungan dan keselamatan rakyat di negeri ini daripada jangkitan koronavirus.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Azman Adnan meminta agar pihak sekolah memberikan kerjasama dan menunjukkan keprihatinan bagi memastikan solat hajat itu dapat dilaksanakan.

“Semua sekolah berasrama diminta untuk melaksanakan solat hajat ini setiap hari selepas solat Maghrib, manakala sekolah harian biasa pula mengikut kesesuaian masa pihak pengurusan sekolah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Azman turut meminta pihak sekolah agar mengikut doa khusus yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor sebagai panduan.

Di KUALA TERENGGANU, lebih 200 jemaah menunaikan solat hajat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, malam ini bagi memohon perlindungan dijauhi daripada koronavirus.

Solat berkenaan dilakukan selepas solat Maghrib dengan diimamkan imam rawatib masjid tersebut, Abul Qasim Puteh.

“Kita mohon mudah-mudahan seluruh rakyat Terengganu dilindungi daripada bala bencana atau pun jangkitan virus ini, insya-ALLAH,” kata Abul Qasim ketika ditemui selepas solat sunat itu.

Masjid Al-Muktafi Billah Shah merupakan antara lebih 500 masjid di seluruh Terengganu yang diarah mengadakan solat hajat selepas solat Maghrib hari ini bagi memohon pertolongan ALLAH SWT untuk membendung jangkitan koronavirus.

Turut diarahkan mengadakan solat hajat adalah surau di seluruh negeri.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada kes koronavirus di Melaka, Negeri Sembilan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!