Penunjuk perasaan Hong Kong bakar lobi kuarantin koronavirus

Seorang individu ditahan pihak berkuasa ketika protes ganas membantah rancangan untuk menjadikan sebuah blok perumahan sebagai pusat kemudahan kuarantin sementara di Hong Kong. - Foto Agensi
Seorang individu ditahan pihak berkuasa ketika protes ganas membantah rancangan untuk menjadikan sebuah blok perumahan sebagai pusat kemudahan kuarantin sementara di Hong Kong. - Foto Agensi
A
A
A

HONG KONG - Sekumpulan penunjuk perasaan semalam bertindak ganas membakar lobi bangunan Fai Ming Estate yang dirancang untuk digunakan sebagai kemudahan kuarantin sementara bagi merawat atau memantau pesakit wabak koronavirus tersebut.

Beberapa peserta protes yang memakai topeng dilaporkan menyerbu blok perumahan awam kosong di daerah Fanling berhampiran sempadan China dan melemparkan bom molotov cocktail hingga mengakibatkan kebakaran.

Pasukan bomba bagaimanapun berjaya mengawal api dan ratusan polis antirusuhan turut dikerah ke lokasi kejadian serta memberkas seorang individu.

Insiden itu berlaku selepas ratusan penunjuk perasaan menyekat laluan menghala ke bangunan tersebut sebagai membantah rancangan untuk menjadikan premis itu sebagai zon kuarantin berikutan jumlah jangkitan koronavirus di Hong Kong kini mencecah enam kes.

"Kami tidak setuju kerana kerajaan memilih bangunan ini sebagai zon kuarantin kerana ia berhampiran kawasan penempatan penduduk dan sekolah," kata penduduk dikenali sebagai Tsang, 28.

Susulan protes tersebut, kerajaan memaklumkan akan menghentikan pelan bagi mewujudkan zon kuarantin di Estate Fai Ming terbabit.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa Hong Kong melarang penduduk wilayah Hubei yang menjadi pusat penyebaran virus tersebut daripada memasuki bandar raya terbabit sebagai respons terhadap tekanan yang semakin meningkat supaya langkah tegas diambil untuk mencegah penularan wabak tersebut.

Larangan itu turut berkuatkuasa terhadap individu yang sudah berada di wilayah itu sejak 14 hari lalu namun mengecualikan penduduk Hong Kong. - AFP

Artikel Berkaitan: