Nadia Aqilah mahu kembali menyanyi

Nadia-Aqilah
Nadia-Aqilah
A
A
A

TAMPIL membuat persembahan solo menerusi lagu lagu Legenda dalam pementasan teater Yeop: Tribute To Syed Alwi baru-baru ternyata mengubat rindu ramai peminat Nadia Aqilah yang ingin melihatnya kembali beraksi dalam bidang nyanyian.

Kata Nadia dia sendiri terkejut dan terharu dengan peminat yang masing mengingati dirinya sebagai seorang penyanyi biarpun dia kini lebih aktif dalam bidang lakonan.

Memenuhi permintaan para peminatnya sejak sekian lama, Nadia berkongsi tentang perancangannya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian. Malah bintang utama P. Ramlee The Musical ini berhasrat untuk mengadakan sebuah showcase istimewa buat para peminat yang merindui kemunculannya dalam bidang nyanyian.

Nadia yang pernah tampil dengan album solo berjudul Nadia Aqilah (2010), selain bersama Trio Lucious sebelum itu, kini sedang giat mencari pihak yang sudi bekerjasama untuk merealisasikan impian itu.

No Image Caption

“Selama beberapa tahun ini, saya begitu aktif dalam bidang lakonan sehingga ada yang lupa saya ini adalah seorang penyanyi termasuklah diri saya sendiri.

“Namun bila ramai peminat yang mengikuti perkembangan kerjaya seni saya sebelum ini sering bertanyakan tentang itu, malah meminta saya untuk kembali menyanyi, saya mula fikirkan tentang perkara tersebut.

“Jadi tahun 2019 ini saya telah menyusun beberapa perancangan untuk membuat comeback dalam nyanyian. Antaranya adalah menghasilkan single baharu sebelum tampil dengan sebuah showcase yang memang menjadi impian saya selama ini,” kongsi Nadia yang cukup dikenali dengan sikap merendah dirinya ini.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi tentang perkembangannya terkininya dalam bidang lakonan, Nadia meluahkan rasa terujanya apabila berpeluang terlibat dalam sebuah drama bersiri, Devoted yang bakal disiarkan di saluran Viu tidak lama lagi, selain filem terbaharunya, Master Picisan yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

“Alhamdulillah meskipun 2018 saya tidak terlibat dengan banyak projek lakonan kerana terikat dengan urusan keluarga, namun saya berpuas hati dengan beberapa tawaran yang diterima.

“Dapat bekerja dengan orang-orang yang mempunyai passion yang sama dalam bidang seni dan keluar dari zon selesa demi mencari caharan baru adalah sesuatu yang sering membuat saya bersemangat,” katanya yang turut tampil dalam pementasan teater Dato’ Seri dan Yeop Tribute To Syed Alwi di KLPAC pada tahun lalu..

Biarpun namanya pernah beberapa kali ditolak oleh stesen TV atas alasan yang klise berkaitan soal komersial, Nadia mengakui sentiasa melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif kerana dalam masa yang sama dia mendapat peluang lain yang jauh lebih baik daripada itu.

“Saya akui pernah satu ketika merasa kecewa dengan situasi itu. Namun bila saya fikirkan kembali, tiada apa yang perlu saya persoalkan kerana banyak peluang yang lebih baik saya peroleh di tempat lain.

“Peluang untuk terlibat dengan naskhah-naskhah yang berkualiti, selain bekerja dengan orang-orang yang menghargai kerja saya. Memang itulah yang saya harapkan selama ini pun,” luahnya jujur.