Jangan percaya viral, tiada koronavirus di Melaka

Rakyat di Melaka disaran tidak mudah panik dan percaya dengan berita tular di media sosial berkaitan koronavirus sehingga ia disahkan Kementerian Kesihatan. - Foto 123RF
Rakyat di Melaka disaran tidak mudah panik dan percaya dengan berita tular di media sosial berkaitan koronavirus sehingga ia disahkan Kementerian Kesihatan. - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka hari ini menafikan sebarang kes 2019 Novel Koronavirus (2019- nCOV) berlaku di Melaka seperti yang ditularkan dalam media sosial, sejak semalam.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong berkata walaupun pada awalnya terdapat kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki warga China berusia tujuh tahun yang didakwa mempunyai simpton koronavirus namun ia disahkan negatif selepas ujian di Hospital Kuala Lumpur tiga hari lalu.

"Kita menerima laporan bahawa terdapat seorang kanak-kanak warga China yang berada di negeri ini mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Ayer Keroh kerana demam pada 24 Januari lalu sebelum diminta pihak klinik merujuk ke Hospital Melaka tetapi keluarganya enggan berbuat demikian.

"Bagaimanapun, keluarga kanak-kanak itu membawanya ke Hospital Kuala Lumpur pada hari sama untuk mendapatkan rawatan dan menjalani ujian pengesahan tetapi negatif koronavirus," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, rakyat di negeri ini diharap tidak mudah panik dan percaya dengan sebarang berita ditularkan dalam media sosial berkaitan koronavirus sehingga ia disahkan Kementerian Kesihatan.

"Rakyat juga disaran menyemak segala maklumat terkini berkaitan Koronavirus menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan kerana ia akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

"Di peringkat negeri juga, kita akan bekerjasama dan memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan sekiranya terdapat kes Koronavirus dikesan di Melaka dan pengesahan itu akan dibuat pihak kementerian.

"Bagaimanapun, kita sentiasa 'alert' dengan perkembangan kes ini dan mengambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, tular dalam aplikasi Whatsapp dan media sosial mendakwa kononnya ada kes jangkitan koronavirus di Melaka sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. - Bernama