X

Kindly register in order to view this article
!

Bolehkah qada solat untuk sampai awal ke tempat kerja?

UTAMAKAN hak ALLAH berbanding hak makhluk dengan menunaikan kewajipan solat terlebih dahulu.
A
A

JARAK rumah dengan tempat kerja yang jauh menuntut kita untuk bergerak awal untuk sampai ke tempat kita mencari rezeki.

Apatah lagi, jika waktu bekerja kita bermula seawal jam 8 pagi atau selainnya, di samping terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas.

Segelintir orang terpaksa meredah lebih 100 kilometer untuk sampai ke pejabat mereka pada setiap hari.

Sudah tentulah mereka perlu bijak mengatur masa untuk sampai ke tempat kerja sebelum atau tepat pada waktunya.

Begitupun, ada orang kadangkala terpaksa melewatkan solat Subuh atau qada solat berkenaan untuk sampai ke tempat kerja pada waktunya disebabkan kekangan masa tadi.

Bolehkah kita qada solat Subuh apabila sampai ke pejabat pada jam 8 pagi?

Solat merupakan satu kewajipan ke atas orang Islam yang berakal, baligh dan dalam keadaan suci iaitu tidak haid.

Firman ALLAH SWT: "Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajikan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (Surah al-Nisa, ayat 103)

Dalam perihal mengqada solat, Islam sebenarnya ada menggariskan panduan tertentu.

Para ulama meletakkan beberapa keadaan yang mana seseorang itu tidak berdosa melewat-lewatkan solat sehingga melepasi waktunya iaitu tidur yang mana jika tidur sebelum waktu solat, lupa, jamak solat, paksaan, takut terlepas waktu wukuf di Arafah dan menyelamatkan perkara yang dimuliakan syarak daripada rosak dan binasa.

Berdasarkan keadaan tersebut, mengqada solat disebabkan khuatir terlambat masuk kerja tidak termasuk dalam alasan yang diterima syarak.

Ketahuilah bahawa solat merupakan hak ALLAH yang wajib ditunaikan pada waktunya tanpa mengambil kira apa jua keadaan.

Sementelah, pekerjaan pula berkaitan dengan hak iaitu tanggungjawab kepada diri dan keluarga.

Bagaimanapun, apabila bertembung antara hak ALLAH dan makhluk, maka hak ALLAH wajib diutamakan.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak dan untuk diri kamu terdapatnya hak dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak." (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, rancanglah waktu perjalanan dengan baik pada waktu awal pagi apabila menaiki kenderaan sendiri agar boleh berhenti untuk menunaikan solat Subuh.

Sekiranya waktu kerja fleksibel, boleh gantikan waktu masuk yang terlambat tadi dengan melewatkan masa pulang bekerja.

Namun, jika waktu terhad, boleh solat secara bersendirian dan memendekkan bacaan dalam solat dengan memilih surah-surah lazim di samping menyempurnakan rukun qauli dan fi'li.

Sesungguhnya solat merupakan tiang agama dan ia perlu dijaga dengan sebaiknya.

Semoga ALLAH SWT menerima amalan kita.

(Sumber: Al-Kafi #1531: Qada Solat Disebabkan Waktu Bekerja, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus