KRM cari formula pembangunan skuad ragbi negara

Shahrul Zaman Yahya - Foto Bernama
Shahrul Zaman Yahya - Foto Bernama
A
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) bakal menilai balik keberkesanan program pencarian bakat (ID) di peringkat akar umbi dan pembangunan pemain ke skuad senior selepas gagal mencapai sasaran pada Sukan SEA 2019 Filipina, tahun lalu.

Presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita masing-masing disasarkan untuk meraih emas dan perak ragbi 7-sebelah (7s), terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa kerana gagal menyaingi kehebatan Filipina.

“Untuk kedua-dua pasukan, halangan kita ialah Filipina yang kebanyakan menggunakan pemain dari luar kerana peraturan dwi kerakyatan yang mereka guna pakai. Tapi itu tidak boleh jadi alasan selama-selamanya kerana apa yang negara lain buat adalah di luar kawalan kita.

“Kita perlu cari mekanisme untuk atasi perkara ini dan memastikan pasukan kita mampu bersaing dengan mana juga pasukan kerana kita tidak mahu hanya berjaya di peringkat Sukan SEA, tetapi berjaya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya di Majlis Sukan Negara (MSN).

KRM sudah pun menggunakan pemain naturalisasi dalam skuad 15s kerana Ragbi Dunia membenarkan seseorang pemain mewakili mana-mana negara tanpa kerakyatan jika bermain di sesebuah negara itu lebih dari lima tahun.

Bagaimanapun, Shahrul menjelaskan bahawa situasi itu berbeza apabila skuad 7s bertanding pada temasya seperti Sukan SEA kerana hanya pemain yang mempunyai kerakyatan boleh mewakili negara, iaitu satu proses yang rumit.

“Buat masa ini, kita fokus kepada pembangunan pemain kita sendiri dan meningkatkan penyertaan pemain luar pada kejohanan yang diadakan di negara kita.

"Korea Selatan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 rata-rata dengan pemain tempatan, mengalahkan Hong Kong yang menggunakan pemain luar,” katanya.

Artikel Berkaitan: