Defisit fiskal: Guan Eng sangkal laporan Nomura

lim
lim
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini menyangkal Laporan Penyelidikan Pasaran Nomura Global yang mengunjurkan Malaysia akan mencatat defisit fiskal sebanyak 3.9 peratus pada 2018 dan 3.7 peratus pada 2019, dengan menyatakan Malaysia yakin dapat mencapai 3.7 peratus pada 2018 dan 3.4 peratus pada tahun ini.

Guan Eng berkata, beliau telah memeriksa dengan akaun kewangan awal yang ditutup dan kedudukan fiskal kerajaan berada pada 3.7 peratus sasaran defisit keluaran dalam kasar negara (KDNK) bagi 2018.

"Laporan Penyelidikan Nomura bahawa defisit fiskal 2018 akan merosot kepada 3.9 peratus daripada KDNK adalah tidak benar," katanya dalam satu sidang akhbar di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selepas diperkenal semula pada 1 September 2018, telah melebihi unjuran awal sebanyak 34 peratus kepada RM5.4 bilion pada November dan Disember, berbanding unjuran RM4 bilion.

Kutipan bagi jualan import ialah RM2.896 bilion, cukai jualan domestik (RM1.055 bilion) dan cukai perkhidmatan, RM1.414 bilion, katanya.

Dalam Laporan Strategi Asean semalam, Nomura Research telah menurunkan penarafan pasaran ekuiti Malaysia kepada "underweight" daripada "neutral" sebelum ini, berikutan prospek pertumbuhan pendapatan yang lemah.

Laporan itu berkata, sejak Mei tahun lepas, ia berpendirian "neutral" terhadap ekuiti Malaysia, yang sebahagian besarnya berdasarkan kepada tesis bahawa "prospek pembaharuan" dapat mengekalkan kelebihannya walaupun mikro dan makro tidak begitu menyokong.

Ia berkata, ahli ekonomi percaya terdapat risiko yang tinggi terhadap kemerosotan fiskal dan kemungkinan penurunan penarafan negara yang boleh mencetuskan lebih banyak aliran keluar modal.

Artikel Berkaitan:

Berbeza dengan pendapat firma penyelidikan tersebut, Guan Eng berkata, pelbagai pembaharuan struktur yang diumumkan oleh kerajaan sudah pun berlaku.

Sebagai contoh, beliau berkata, pengutamaan semula projek infrastruktur seperti Transit Aliran Massa (MRT) 2, MRT 3, Transit Aliran Ringan 3 dan projek infrastruktur lain adalah untuk meningkatkan daya maju kewangan mereka dan mengurangkan beban kewangan kepada kerajaan dengan segera, yang menghasilkan penjimatan lebih RM27 bilion.

"Kerajaan telah pun menyatakan yang reformasi fiskal akan mengambil masa tiga tahun untuk selesai. Lebih banyak langkah akan diumumkan untuk 2020, selain daripada langkah-langkah yang diumumkan semasa Belanjawan 2019, " katanya.

Beliau menambah bahawa kerajaan juga telah menyampaikan mesej mengenai masa yang diperlukan untuk menyelesaikan pembaharuan kepada pelbagai piha,k termasuk agensi penarafan kredit terkemuka - Fitch Ratings, Moody's Investors Service dan S & P Global Ratings.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan tidak akan menyusun semula Belanjawan 2019 jika purata harga minyak mentah Brent berlegar sekitar AS$50 (AS$1 = RM4.09) dan AS$70. Pada masa ini, harga minyak mentah itu berada pada AS$60.90.

Beliau berkata, selain dividen khas sekali sebanyak RM30 bilion dari Petronas yang diperlukan sebahagiannya bagi membiayai pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan, anggaran pergantungan kerajaan kepada pendapatan petroleum pada tahun ini hanya 19.5 peratus dan ini adalah tanpa hasil GST.

Beliau berkata pada 2009, pendapatan petroleum merupakan 41.3 peratus daripada pendapatan kerajaan.

"Ini menunjukkan bahawa walaupun petroleum adalah sumber pendapatan yang penting, ia menjadi semakin kurang penting bagi pembiayaan awam.

"Para penganalisis sepatutnya mengambil kira harga minyak yang rendah dalam konteks ini, dan juga fakta bahawa kerajaan memperkenalkan langkah-langkah baharu seperti cukai soda dan penjualan aset bukan teras, bukan strategik yang tidak diambil kira dalam jumlah defisit fiskal.

"Langkah tambahan terbabit adalah cukup untuk berfungsi sebagai penampan yang selesa," tambahnya.

Sementara itu, Lim berkata, dari segi politiknya Malaysia kini stabil di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

"Apa-apa perubahan kepemimpinan sebagaimana yang dipersetujui sebelumnya akan dilakukan dengan teratur dalam norma-norma yang sah dan demokratik. Malaysia adalah negara demokrasi dan perdebatan adalah sebahagian daripada budaya demokrasi yang mantap.

"Perdebatan ini tidak mengalihkan perhatian pemerintah daripada melaksanakan reformasi yang dirancangnya," katanya. - Bernama