Relau purba lengkapkan bukti berlaku aktiviti peleburan besi

Penyelidik USM menunjukkan relau dan bekas air yang dijumpai di Kampung Padang Chicak, Jeneri. Gambar kecil: Mohamaddin Ketapi
Penyelidik USM menunjukkan relau dan bekas air yang dijumpai di Kampung Padang Chicak, Jeneri. Gambar kecil: Mohamaddin Ketapi
A
A
A

ALOR SETAR - Penemuan tapak relau peleburan besi purba di Kampung Padang Chicak, Jeneri berhampiran Sungai Muda mempunyai ciri-ciri arkeologi yang sangat tinggi bagi melengkapkan bukti berlaku aktiviti peleburan besi di sepanjang Sungai Muda.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi sehubungan itu berkata, Jabatan Warisan Negara (JWN) komited melakukan penyelidikan dan pemuliharaan berterusan di tapak penemuan artifak berkenaan.

Menurutnya, usaha pemeliharaan sudah dilaksanakan Universiti Sains Malaysia (USM) selaku penyelidik sah yang dilesenkan di bawah Seksyen 86, Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005).

“JWN turut bercadang relau peleburan itu dilindungi setelah kajian selesai dilaksanakan. Ia bakal dijadikan antara tarikan utama pameran di Galeri Warisan Arkeologi yang akan dibina di Tapak Kompleks Arkeologi Sungai Batu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamaddin berkata, penemuan itu antara sumber ilmu dalam memahami ketamadunan masyarakat lampau di negara ini selain memberi fakta baharu pensejarahan negara.

“JWN juga akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung isu keselamatan tapak bagi memastikan tiada gangguan,” katanya.

Menurutnya, JWN turut memohon supaya orang ramai mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005) (Akta 645) dengan melaporkan segera penemuan bersejarah di sekitar Sungai Muda kepada Pegawai Daerah atau Pesuruhjaya Warisan.

“Tapak relau berkenaan ditemui ketika kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi. Penyelidikan awal survey dan pemetaan di sepanjang Sungai Muda pada 2014 berjaya mengintensifkan tapak peleburan besi ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamaddin berkata, ekskavasi arkeologi yang dijalankan sejak 3 Januari lalu menemukan sebuah relau peleburan besi purba dan sebuah fitur dipercayai berfungsi sebagai bekas air.

“Relau peleburan besi berukuran diameter 496 sentimeter dan 108 sentimeter tinggi manakala bekas air berukuran diameter 309 sentimeter dan 47 sentimeter tinggi. Turut ditemui artifak seperti pecahan tembikar, alatan batu dan sisa pembakaran,” katanya.

Menurutnya, bukti artifak yang dijumpai bersama relau dan bekas air menunjukkan ia berfungsi sebagai relau untuk melebur bahan besi.

“Kajian sejak 2010 itu turut menemukan beberapa tapak peleburan besi purba lain di Bukit Selambau, Kuala Ketil dan Jeniang.

Bagaimanapun, relau di Kampung Padang Chicak terletak paling utara di Sungai Muda berbanding tapak lain yang mewakili salah satu tapak aktiviti industri besi dengan anggaran sekitar abad pertama hingga 13 masihi,” katanya.

Tambahnya, penemuan relau seumpama itu turut dijumpai di Tapak Kompleks Arkeologi Sungai Batu, namun menurut penyelidik USM, usianya lebih tua seawal 788 sebelum masihi.