Empat mangsa positif koronavirus stabil

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Kesemua empat kes positif koronavirus dalam keadaan stabil dan sedang dipantau di wad isolasi di hospital yang dikenal pasti sebagai hospital rujukan bagi wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif sebanyak 23 kes melibatkan 14 pesakit warga tempatan, lapan dari China dan Jordan (1) berada di bawah pemantauan (PUI) jangkitan koronavirus sejak 10 Januari lalu sehingga hari ini.

"Daripada jumlah PUI itu, terdapat hanya satu kes positif koronovirus iaitu seorang lelaki warganegara China berusia 40 tahun, manakala 18 kes PUI adalah negatif (12 warganegara Malaysia, lima China dan satu Jordan) dan discaj daripada hospital.

"Empat lagi kes PUI ini (dua warga Malaysia dan dua China) diletakkan dalam isolasi di beberapa hospital, keputusan makmal mereka akan diketahui dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, seramai 17 orang kontak rapat kes positif keempat diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian ke atas mereka.

Mengambil kira situasi semasa, Kementerian Kesihatan (KKM) terus meningkatkan langkah pencegahan dan kawalan wabak jangkitan koronavirus.

“Kes-kes yang disyaki akan diperiksa dan dirujuk ke hospital untuk pengambilan sampel serta pemantauan perkembangan gejala kes.

“Ia akan dipantau sehingga tamat tempoh inkubasi virus ini iaitu sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh pendedahan atau berlepas dari negara China dan ia selari dengan Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, KKM mengesahkan satu lagi kes positif koronavirus di Malaysia menjadikan keseluruhan sebanyak empat kes, namun kes itu tidak mempunyai kaitan dengan tiga yang disahkan positif semalam.

KKM dalam satu kenyataan berkata, kes terbaharu itu membabitkan seorang lelaki 40 tahun berasal dari Wuhan, China yang tiba di Johor Bahru pada 22 Januari lalu dengan menaiki bas dari Singapura.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu lagi kes positif koronavirus di Malaysia