Penerbit filem cabar Syed Saddiq

Razalif menunjukkan borang pencalonan di hadapan Pejabat Bersatu Bahagian Tanjong tadi.
Razalif menunjukkan borang pencalonan di hadapan Pejabat Bersatu Bahagian Tanjong tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Penerbit filem, Razalif Mohamad Zain bertekad akan memperbaharui Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dengan membawa lima teras sekiranya dipilih sebagai Ketua Armada Nasional nanti.

Beliau yang juga Ketua Cawangan Armada Seaview Park berkata, di samping Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang akan mempertahankan jawatannya itu, beliau turut berdepan dengan Exco Armada Nasional Bersatu, Muzammil Ismail.

"Salah satu sebab saya hendak bertanding jawatan ini adalah kerana kita mengamalkan prinsip demokrasi dan saya juga ingin memperjuangkan nasib dan masa depan Armada.

"Selain itu, saya menawarkan diri untuk bertanding atas keyakinan terhadap kesuburan demokrasi dalam Bersatu yang tidak mencantas golongan muda bertanding jawatan tertinggi walaupun kurang berpengalaman.

"Saya akan memperjuangkan lima teras iaitu agama bangsa dan negara, Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara, kebajikan Armada serta ekonomi Armada, anak muda masa depan negara dan nakhoda bangsa," katanya kepada media selepas menghantar borang pencalonan di Pejabat Bersatu Bahagian Tanjong, di sini tadi.

Razalif berkata, beliau mula berkempen untuk jawatan itu sejak Januari tahun lalu untuk lebih dikenali memandangkan beliau merupakan muka baharu dalam dunia politik.

"Saya juga bertanding bagi jawatan Ketua Armada Bahagian Bukit Bendera. Saya mula dengan beberapa siri kempen sejak awal tahun lalu. Saya optimis dengan pertandingan ini. Walaupun dua calon terdiri daripada golongan hebat namun saya percaya saya mempunyai sokongan kuat daripada akar umbi.

"Saya menerima sokongan padu daripada beberapa bahagian dan negeri yang bersama saya. Saya juga telah menjalankan beberapa program di setiap negeri selain menghulurkan sumbangan kepada asnaf dan Armada untuk menjalankan aktiviti di bahagian dan cawangan masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan: