Halimaton Shaadiah pertahan jawatan Ketua Srikandi Kubang Pasu

Halimaton Shaadiah (kanan) menyerahkan borang penamaan calon pemilihan Bahagian Kubang Pasu di Pejabat Bersatu Kubang Pasu hari ini.
Halimaton Shaadiah (kanan) menyerahkan borang penamaan calon pemilihan Bahagian Kubang Pasu di Pejabat Bersatu Kubang Pasu hari ini.
A
A
A

JITRA - Exco Kedah, Halimaton Shaadiah Saad menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Srikandi Bahagian Kubang Pasu bagi mempertahankan jawatan disandang sejak parti itu ditubuhkan.

Bagaimanapun, Ketua Srikandi penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah itu terbuka jika ada calon mencabarnya di saat akhir kerana menganggap satu pertandingan sihat dalam politik.

“Saya mengalu-alukan kehadiran calon lain untuk berjuang perkasakan parti di Kubang Pasu. Walaupun saya penyandang Ketua Srikandi bahagian namun ini adalah proses demokrasi dan terbuka kepada semua ahi.

"Ahli hanya perlu buat pemilihan tepat untuk memperkasakan parti,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan borang penamaan calon pemilihan Bahagian Kubang Pasu di Pejabat Bersatu Kubang Pasu hari ini.

Halimaton Shaadiah berkata, beliau tidak menghalang individu yang mahu bertanding supaya lebih ramai tampil memperkukuhkan parti.

“Inilah keunikan Bersatu. Kita undi menggunakan sistem satu ahli satu undi, bukan menerusi perwakilan seperti parti lawan. Semua calon bertanding dipilih ahli dan lebih telus dan diyakini,” katanya.

Katanya, pemilihan peringkat cawangan akan berlangsung bermula 15 Februari hingga 29 Mac dan berharap semua cawangan dapat menyelesaikan mesyuarat dalam tempoh ditetapkan.

“Keahlian di Kubang Pasu adalah yang kedua tertinggi selepas Baling iaitu melebihi 5,000 yang berdaftar di 35 cawangan. Srikandi Kubang Pasu dan Armada masing-masing mempunyai 33 cawangan yang layak memilih,” katanya.

Artikel Berkaitan: