Tiga suspek kes rompakan bersenjata ditahan

Suspek ditahan di lokasi berlainan dan kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
Suspek ditahan di lokasi berlainan dan kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
A
A
A

WANGSA MAJU - Pihak polis berjaya menahan tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam satu kes rompakan bersenjata di Petaling Jaya yang dilaporkan pada November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di dua lokasi berlainan dan kesemua mereka mempunyai 19 rekod jenayah lampau.

"Tangkapan suspek pertama telah dilakukan berhampiran Jalan Rejang 7 Setapak Jaya oleh anggota dari Balai Polis Wangsa Maju. Suspek pertama ini adalah lelaki berusia 30 tahun dan mempunyai tujuh rekod jenayah.

"Bagi suspek kedua dan ketiga pula dilakukan oleh anggota cawangan D4 IPD Petaling Jaya, pasukan dari Balai Polis Petaling Jaya dan pasukan Balai Polis Damansara di sebuah kondominium di Jalan Ayer Panas Kuala Lumpur.

"Kedua-duanya berusia 33 tahun dan 55 tahun dan mempunyai tiga serta sembilan rekod jenayah lampau," katanya menerusi kenyataan.

Susulan penahanan tiga suspek tersebut, Mohd Zani berkata pihak polis turut merampas barangan termasuk dua komputer riba, 11 utas jam tangan berjenama, lapan utas beg tangan berjenama, tiga unit kamera serta sebuah kereta.

Menurutnya, kesemua barangan dirampas dianggarkan bernilai hampir RM200,000.

Dalam pada itu, Mohd Zani turut memberitahu pihak polis sedang giat memburu dua lagi suspek yang dipercayai masih bebas berhubung kes berkenaan.

Artikel Berkaitan: