Kon Yeow sangkal dakwaan Najib

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menyangkal dakwaan bahawa kadar tarif air domestik di Pulau Pinang dinaikkan empat kali dalam tempoh 10 tahun di bawah PH.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kenyataan itu tidak benar kerana sepanjang 10 tahun PH memerintah Pulau Pinang, hanya sekali kadar itu dinaikkan.

Menurutnya, dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kadar tarif air di Pulau Pinang dinaikkan empat kali dalam tempoh 10 tahun sama sekali tidak benar.

"Saya mahu perbetulkan kenyataan Najib bahawa kita hanya menaikkan kadar tarif air sekali sahaja. Saya tidak ada data sebenar dengan saya sekarang tetapi saya pasti, ia hanya dinaikkan sekali sahaja.

"Apa-apa pun, saya berterima kasih kepada beliau kerana berminat dengan Pulau Pinang dengan membuat komen berhubung cadangan peratusan kenaikan tarif air di negeri ini. Saya amat teruja apabila beliau mengikuti apa yang kita lakukan di Pulau Pinang," katanya kepada media tadi.

Terdahulu, Najib membidas Kerajaan Pulau Pinang yang berhasrat untuk menaikkan harga air di negeri itu sebanyak 20 peratus tahun ini.

Menurut Najib, kenaikan tersebut adalah yang keempat berlaku dalam tempoh 10 tahun sejak DAP berjaya menguasi negeri itu pada tahun 2008.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut mengakui bahawa Pulau Pinang telah memperkenalkan Surcaj Pemuliharaan Air (WCS) dan beberapa kali telah menaikkan kadar caj berkenaan.

"Harus difahami, WCS hanya dikenakan kepada mereka yang menggunakan air melebihi 35,000 liter dalam tempoh sebulan. Bukan semua pengguna dikenakan WCS ini.

"Seperti yang saya nyatakan semalam, WCS akan dimansuhkan sekiranya kadar tarif baharu ini digunakan kerana.

"Dalam erti kata lain, apabila kadar tarif air sudah tinggi, maka Pulau Pinang tidak lagi memerlukan WCS untuk mengurangkan penggunaan air mentah di sini. WCS diperkenalkan kerana Pulau Pinang mempunyai penggunaan air tertinggi di negara," katanya.

Kon Yeow berkata, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah melaksanakan mekanisme tarif itu sejak di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu di bawah BN.

"Bagaimanapun, mekanisme itu tidak dilaksanakan kerana pentadbiran terdahulu gagal mencapai persetujuan.

"Ini kerana di bawah usaha itu, kementerian mahu menyelaraskan mekanisme tarif air di semua negeri," katanya.

Semalam, Kon Yeow mengumumkan bahawa kadar tarif air di Pulau Pinang akan naik sehingga 20 peratus atau lebih, selaras dengan pengumuman kerajaan dalam usaha untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.