Barangan seludup RM700,000 dirampas

Anggota Maqis menunjukkan buah mangga yang berjaya dirampas oleh Aksem Op Pengkalan Dalam.
Anggota Maqis menunjukkan buah mangga yang berjaya dirampas oleh Aksem Op Pengkalan Dalam.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Rantau Panjang merampas pelbagai barangan seludup berjumlah RM700,000 menerusi Op Pengkalan dalam tiga serbuan pada 21 Januari lalu.

Antara barangan dirampas op tersebut ialah buah mangga dan keropok keping masing-masing seberat 800 kilogram (kg), selain pelbagai jenis sosej dan ayam sejuk beku seberat 243kg.

Kesemua rampasan itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, siasatan awal mendapati kesemua barangan terbabit dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Maqis Kelantan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti menyeludup barangan termasuklah produk pertanian tanpa permit sah," katanya.

Sebahagian sosej dan ayam sejuk beku yang dirampas Aksem.
Sebahagian sosej dan ayam sejuk beku yang dirampas Aksem.

Menurutnya, Maqis Kelantan sentiasa memantau dan mempertingkatkan kawalan ke atas setiap kemasukan keluaran pertanian yang masuk ke negeri ini bagi memastikan isu-isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dikawal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana membawa masuk keluaran pertanian tanpa permit import sah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali sebagaimana peruntukan Seksyen 11(3) akta yang sama.