Wanita rugi RM4,800 ditipu lelaki bergelar 'Datuk'

Gambar hiasan - (Gambar kecil Mohd Wazir Mohd Yusof )
Gambar hiasan - (Gambar kecil Mohd Wazir Mohd Yusof )
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita kerugian sebanyak RM4,800 selepas ditipu seorang lelaki bergelar 'Datuk' dalam urusan jual beli kenderaan lelong.

Wanita berusia 54 tahun itu tertarik dengan iklan lelongan kenderaan yang diiklankan seorang lelaki melalui sebuah kumpulan WhatsApp pada 5 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berminat untuk membeli dua kereta jenis Perodua Kancil dan Myvi yang ditawarkan pada harga RM1,500 dan RM4,500.

Menurutnya, mangsa kemudiannya membuat bayaran pendahuluan berjumlah RM4,500 manakala bakinya akan dijelaskan selepas menerima kereta itu.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa tidak menerima kereta itu seperti mana yang dijanjikan.

"Mangsa cuba menghubungi lelaki itu namun pelbagai alasan diberikan," katanya.

Mohd Wazir berkata, curiga dengan tindakan lelaki itu, mangsa tampil membuat laporan polis 24 Januari lalu.

"Polis tidak menolak kemungkinan suspek menawarkan iklan penjualan kereta lelong yang tidak wujud melalui WhatsApp.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang mengesan suspek termasuk pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.