X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu bapa warga China tak benar anak dikuarantin

A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang juga suspek koronavirus telah dibawa keluar ibu bapanya daripada dikuarantinkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam.

Tindakan yang mewujudkan kebimbangan di kalangan masyarakat itu telah dimuatnaik oleh pengguna Facebook dikenali sebagai Idzuari Ali yang berkongsi sekeping gambar laporan polis berkenaan kejadian tersebut.

Perkara tersebut telah dilaporkan oleh seorang doktor yang bernama T Vimel memberitahu bahawa kanak-kanak itu, Wang Wungtong yang merupakan warganegara China mempunyai simptom awal menghidap koronavirus.

Menurutnya, kanak-kanak itu seharusnya dikuarantinkan namun keluarganya tidak mahu anaknya menerima rawatan atas alasan mempunyai tiket penerbangan ke China semalam.

"Saya telah menerima pesakit tersebut semalam yang mendapati kanak-kanak itu mempunyai simptom influenza seperti demam dan batuk dan dia ke sini atas arahan daripada Hospital Columbia.

"Mengikut surat berkenaan, kanak-kanak tersebut mengalami batuk dan demam yang tidak diakui oleh ibu bapanya namun hasil pemeriksaan, saya mengesahkan menghidapi demam yang disyaki koronavirus.

"Saya dan pakar kanak-kanak telah memberitahu ibu bapanya, anaknya harus dipindahkan di Hospital Permai kerana perlu dikuarantinkan untuk siasatan lanjut namun ibu bapanya tidak mahu kerana mempunyai penerbangan ke China semalam," katanya.

Dalam pada itu, T Vimel berkata, walaupun ibu bapa kanak-kanak itu telah diberi amaran tidak dibenarkan pulang namun mengendahkannya dan hanya mahu anaknya menerima rawatan melalui ubat demam dan batuk sahaja.

"Tujuan laporan polis ini dibuat untuk rujukan pihak yang berkenaan supaya pesakit tidak terlepas pandang kerana mereka telah melarikan diri daripada hospital tanpa surat kebenaran," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Singapura sahkan kes import keempat

Dalam pada itu, perkongsian Idzuari Ali kini tular di media sosial yang meraih 1,600 tanda suka dan 9,100 perkongsian.

Rata-rata netizen meluahkan kebimbangan dengan tindakan itu dan mengharapkan agar pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengesan pesakit.

"Risau pula aku bila dapat tahu ada pesakit koronavirus melarikan diri daripada hospital. Takut pula virus itu mampu menjangkiti rakyat Malaysia. Kerajaan perlu ambil serius perkara ini," tulis Zahari Din di Facebook.

Nurain Syafina pula berkata, "Ya ALLAH, harap bila dah ada pesakit larikan diri, janganlah ada rakyat Malaysia yang menghidapnya sebab wabak ini dilihat amat mudah dijangkiti. Pihak yang terlibat dalam perkara ini harus bertindak bagi mencari lokasi pesakit itu berada."


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!